Senarai 17 tempat menarik di Shah Alam ini adalah untuk rujukan dan panduan kepada anda yang ingin melancong ke Shah Alam sama ada atas urusan kerja ataupun bercuti.

Shah Alam yang merupakan ibu negeri Selangor Darul Ehsan adalah sebuah bandar yang agak pesat membangun. Di sebalik kepesatan pembangunan di bandar ini, anda dapat merasakan ketenangan dan keindahan pemandangan di sekeliling bandar, boleh dikatakan pembangunan di Shah Alam agak seimbang dari segi material dan alam semulajadi.

Bukan itu sahaja, bandar ini juga memiliki aset yang agak lengkap sama ada taman rekreasi, pusat membeli belah, hotel, tempat makan sedap dan pelbagai lagi tempat yang menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara.

17 Tempat Menarik Di Shah Alam

Nak tahu apa tempat menarik di Shah Alam ini? Mari kita lihat senarai 17 tempat menarik di Shah Alam untuk diterokai apabila anda berkunjung ke sini sama ada untuk bercuti, berkelah ataupun atas urusan kerja.

Semoga dengan senarai 17 tempat menarik di Shah Alam yang kami tulis dibawah ini sedikit sebanyak dapat membantu anda merancang percutian ke destinasi ini pada masa akan datang.

1. I-City Shah Alam

icity shah alam tempat menarik di shah alam

Kalau anda pernah dengar tentang I-City Shah Alam, mesti anda terbayangkan pokok-pokok berlampu LED kan? Tapi anda tahu tak sebenarnya banyak lagi tarikan lain yang ditawarkan di I-City ni? Bersebelahan dengan pokok-pokok bercahaya ini terdapat Snowalk dengan suhu serendah 5 darjah celcius.

Di dalam kawasan Snowalk ini anda dapat melihat rumah-rumah yang dibuat daripada ais, orang salji, ukiran ais dan bermacam lagi. Kalau anda teringin merasa hidup di dalam salji, inilah tempat yang patut anda pergi. Keluar sahaja dari taman salji ini, ada banyak lagi tempat untuk berseronok seperti Laser Warzone, Waterworld, Space Mission, Circus Travel, Trick Art Museum dan banyak lagi. Gempak kan?

Alamat: I-City, 40000 Shah Alam, Selangor.

2. Perpustakan Raja Tun Uda

Perpustakan Raja Tun Uda Shah Alam
Sumber: PPAS.my

Berkonsepkan perpustakaan dalam taman, Perpustakaan Raja Tun Uda merupakan sebuah perpustakaan awam yang lengkap dengan pelbagai kemudahan hi-tech seperti bilik wifi percuma dengan 100 buah komputer tersedia untuk pengunjung, yang syoknya lagi kalau anda suka menonton filem, anda bukan setakat boleh menikmati filem itu dalam bilik yang disediakan di perpustakaan ini, malahan, anda dapat menontonnya dalam 3D atau 6D!

Selain itu, perpustakaan yang memiliki 6 tingkat ini dapat menampung 400,000 buah buku dan 2500 orang pada satu-satu masa. Tambahan pula perpustakaan ini lengkap dengan kafeterianya sendiri dimana anda dapat menikmati makanan sambil melihat pemandangan tasik dan masjid yang sangat menyejukkan mata.

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (9.30am – 7.00pm) | Sabtu – Ahad (9.30am – 9.00pm)

Alamat: Jalan Kelab Golf 13/6, Seksyen 13, 40100 Shah Alam, Selangor.

3. Muzium Sultan Alam Shah

Muzium Sultan Alam Shah tempat menarik di Shah Alam
Sumber: Wikipedia

Muzium Sultan Alam Shah ini agak luas dengan hampir 4,000 buah artifak dipamerkan di sini. Terdapat lima buah balai pameran yang berbeza iaitu Balai Islam, Balai Sukan, Balai Sejarah, Balai Kebudayaan, Balai Warisan Alam Semulajadi dan Pameran Luar. Antara kemudahan lain yang disediakan muzium ini adalah dewan, bilik mesyuarat, Makmal Taksedemi dan Repositori, Pusat Sumber serta Auditorium.

Di Balai Sejarah, anda dapat melihat pameran artifak yang dijumpai di kawasan penempatan awal manusia di negeri Selangor dan sejarah pentadbiran Selangor. Jika anda ke Balai Islam pula anda dapat melihat pelbagai artifak dan model yang menarik seperti kitab-kitab lama, bekas wuduk, beduk dan macam-macam lagi. Banyak yang boleh dipelajari sekiranya anda membawa anak-anak melawat muzium ini. Kemasukan ke muzium ini adalah percuma.

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Isnin (9.30am – 5.30pm)

Alamat: Persiaran Bandaraya, Seksyen 14, 40000 Shah Alam.

4. Laman Seni 7, Shah Alam

Laman Seni 7, Shah Alam tempat menarik di Shah Alam

Kalau anda pernah dengar tentang Art of Old Town di Ipoh, di Selangor pula terdapat Laman Seni 7 di mana hasil-hasil seni pelukis jalanan yang telah memenangi Pertandingan Laman Seni 7 Shah Alam dari 4 kategori berbeza iaitu ‘Painting on Site’, ‘Street Furniture’, ‘3D Painting’ dan ‘3D Installation’ dipamerkan.

Karya-karya yang memenangi pertandingan-pertandingan ini diabadikan di Laman Seni 7 ini untuk dilihat oleh orang ramai. Di sebalik setiap hasil seni ini terdapat mesej-mesej penting yang cuba disampaikan, di sini, anda dapat membaca info dari perspektif pengkarya itu sendiri tentang apa yang cuba disampaikan melalui karya mereka. Kalau anda suka berfotografi, apa kata anda angkut kamera dan lensa-lensa dan lihat sendiri keunikan tarikan ini.

Alamat: Jalan Plumbum R7/R, Seksyen 7, 40000 Shah Alam, Selangor.

5. Setia City Mall

Setia City Mall
Sumber: TripAdvisor

Kalau anda kaki shopping, apa kata kalau singgah ke pusat membeli-belah Setia City Mall Shah Alam. Lengkap dengan pelbagai jenis jenama besar seperti Kaison, Parkson, H&M dan banyak lagi. Bukan itu sahaja, anda juga dapat bersantai bersama kawan-kawan di tempat bermain bowling, karaoke dan juga di taman yang terletak berhadapan dengan shopping mall ini.

Tambahan pula, anda juga boleh menikmati pemandangan tasik buatan dan air pancut yang berwarna-warni di taman ini. Untuk yang membawa anak-anak pula, boleh membawa anak bermain di taman permainan yang disediakan. Pendek kata, Setia City Mall ni memang tempat terbaiklah untuk bersantai, semuanya ada.

Alamat: 59, Persiaran Setia Dagang, Setia Alam, 40170 Shah Alam, Selangor

6. Uptown Shah Alam Seksyen 24

Uptown Shah Alam Seksyen 24 tempat menarik di shah alam

Mencari tempat menarik di Shah Alam pada waktu malam? Apa kata kalau anda singgah ke Uptown Shah Alam ni untuk mengisi masa lapang. Di sini anda dapat melihat bermacam barangan dijual seperti jam tangan, barangan bundle, topi, hijab, aksesori telefon bimbit, makanan dan macam-macam lagi la yang ada disini.

Anda juga tidak perlu risau jika hujan sebab Uptown ni berbeza dari yang lain, ianya berbumbung, jadi bolehlah anda membeli belah tidak kira keadaan cuaca. Lokasi ini memang penuh dengan orang ramai terutamanya pada hari cuti dan musim perayaan.

Waktu Operasi: Isnin – Ahad (8.30pm – 3.00am)

Alamat: Komplex Muhibbah, Persiaran Sultan, Seksyen 24, 40300 Shah Alam, Selangor.

7. Taman Botani Negara Shah Alam

Taman Botani Negara Shah Alam

Apa yang menarik di Taman Botani Negara Shah Alam adalah Rumah Iklim Sederhana Empat Musim yang mana di dalamnya terdapat bunga-bungaan yang ditanam dalam musim tertentu, musim-musim di rumah ini diubah setiap tiga bulan. Walaupun kita duduk di negara yang tidak mengalami perubahan musim, sekurang-kurangnya dapatlah anda merasa suasana yang berlainan semasa anda berada di sini. Terasa agak realistik dengan teknik pencahayaan dan wallpaper yang digunakan untuk memberikan efek yang bersesuaian dengan musim tersebut.

Tarikan lain yang terdapat di sini adalah zoo mini, kawasan sawah padi, taman kaktus, taman buah-buahan tropika, taman herba, tasik dan kolam. Antara aktiviti yang sering dilakukan di sini adalah seperti berbasikal, flying fox, memancing dan paintball.

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Isnin (7.30am – 5.00pm)

Alamat: Taman Botani Negara Shah Alam, Bukit Cahaya Seri Alam, 40000 Shah Alam.

8. Taman Tema Air Wet World Shah Alam

Taman Tema Air Wet World Shah Alam

Tak tahu nak buat apa pada musim cuti sekolah? Jom bawa anak-anak ke taman tema air Wet World Shah Alam di mana anda sekeluarga dapat bermain air sepuas hati. Lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti loker untuk menyimpan barang, tak perlulah anda bersusah hati fikirkan keselamatan barang-barang berharga anda, baru boleh enjoy. Kemudian, kalau dah penat mandi-manda, mesti terasa lapar kan? Ada beberapa pilihan gerai untuk anda membeli makanan di sini.

Kalau anda merancang untuk berjalan ke tempat lain selepas ke taman tema ini, jangan risau pasal rambut basah, pihak wet world turut menyediakan kemudahan alat pengering rambut supaya tak adalah anda pening kepala sebab terpaksa pakai tudung dengan rambut basah bagi yang berhijab. Walaupun taman tema ini tidak sebesar Sunway Lagoon tapi ia tetap lengkap dengan segala kemudahan yang memastikan masa anda disana seronok dan selesa.

Bayaran Masuk: Dewasa RM25 | Kanak-kanak RM20 | Pelancong Dewasa RM35 | Pelancong Kanak-kanak RM30

Waktu Operaasi: Setiap hari kecuali Rabu (10.00am – 6.00pm) | Tutup pada hari Rabu kecuali Cuti Sekolah dan Cuti Umum

Alamat: Taman Tema Air Wet World, No. 3A, Persiaran Dato’ Menteri, Sek.14, 40000 Shah Alam, Selangor.

9. Taman Tasik Shah Alam

taman tasik shah alam tempat menarik di shah alam
Sumber: Sinar Harian

Taman tasik ini dibuka pada tahun 1985 dan direka oleh arkitek lanskap dari Jepun, Fumiaki Takano. Lanskap di taman tasik ini amat menyejukkan mata dan sangat sesuai dijadikan tempat berekreasi sambil bersantai bersama keluarga. Anda dapat menenangkan fikiran melihat ketenangan air ditemani bunyi burung-burung yang terbang di langit. Siapa sangka di tengah-tengah kota pun terdapat kawasan yang setenang ini.

Tambahan pula, Di dalam taman tasik ini juga terdapatnya taman tema air, restoran terapung dan taman permainan kanak-kanak. Jadi kalau anda tiada apa-apa yang nak dibuat di hujung minggu dan mencari aktiviti percuma untuk dilakukan di Shah Alam, datanglah ke taman tasik ini, banyak yang boleh dibuat.

Alamat: Pesiaran Tasek, Seksyen 14, 40000 Shah Alam, Selangor.

10. Dataran Bunga Raya

Dataran Bunga Raya
Sumber: Aculnetwork

Bunga raya yang merupakan bunga kebangsaan Malaysia ini sebenarnya terdapat pelbagai warna, bukan warna merah sahaja ya. Kalau anda nak lihat sendiri bunga raya yang pelbagai warna ini, anda boleh datang ke Dataran Bunga Raya yang terletak di bahagian timur Taman Tasik Shah Alam.

Contoh-contoh warna bunga raya yang terdapat di sini adalah merah jambu, putih dan pelbagai lagi warna yang ada disini. Lokasi yang sesuai untuk anda yang minat dengan fotografi dan nak mencari tempat sesuai untuk jadikan kenang-kenangan gambar perkahwinan. Bersebelah dengan Dataran Bungan Raya ini juga ada Restoran Kopi. Boleh singgah disini untuk menjamu selera.

Alamat: Tasik Barat, Taman Tasik Shah Alam, Seksyen 14, 40000 Shah Alam, Selangor.

11. Kompleks Taman Seni Islam

Kompleks Taman Seni Islam

Di dalam Kompleks ini anda dapat melihat beberapa galeri berbeza seperti Galeri Nur Fatimah, Galeri As Sakinah, Galeri Al Quran Mushaf Malaysia, Bahagian Penyalinan Mushaf Al Quran, Rekaan, Pewarnaan, Grafik dan Penerapan Emas.

Yang paling menarik perhatian di Kompleks ini adalah manuskrip asli Al-Quran yang dianggarkan berharga RM20 juta. Satu perasaan yang amat menakjubkan apabila dapat melihat Quran ini di depan mata. Kompleks ini juga merupakan tempat penghasilan hasil seni islamik. Yayasan Restu, merupakan organisasi yang bertanggungjawab menghasilkan Quran tulisan tangan yang pertama di Malaysia. Yang menarik lagi, dari Kompleks ini anda dapat menikmati panorama indah Masjid Shah Alam dan Taman Tasik Shah Alam.

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Isnin (9.30am – 5.30pm)

Alamat: 2A, Persiaran Damai, Seksyen 10, 40100 Shah Alam, Selangor.

12. Laman Budaya, Galeri Shah Alam

Laman Budaya, Galeri Shah Alam

Laman Budaya merupakan pusat kebudayaan di mana terdapat teater, Galeri Shah Alam, muzium dan lain-lain. Bertempat di Taman Tasik Shah Alam, di Laman Budaya menjadi hab dimana karya tempatan dipamerkan seperti persembahan, pertandingan, pameran dan majlis diadakan.

Kalau anda seorang pencinta seni, tiada alasan untuk anda tidak melawat galeri seni ini. Mungkin anda boleh mendapatkan inspirasi untuk karya anda sendiri?

Waktu Operasi: Setiap hari (9.00am – 6.00pm)

Alamat: Laman Budaya Shah Alam, Persiaran Tasik, 40000 Shah Alam.

13. Litar Go Kart

Litar Go Kart Shah Alam
Sumber: Anthony Teyo

Suka berlumba tapi takut kena saman? Datanglah ke litar ini untuk melepaskan gian anda dengan cara yang ‘halal’. Litar Go Kart ini dibuka setiap hari, anda boleh menyewa Go Kart dan memandu dalam litar yang memiliki 15 selekoh yang agak mencabar.

Untuk anda yang baru ingin mencuba, jangan risau kerana jurulatih turut disediakan untuk membimbing anda. Lokasi ini memang meriah waktu petang lagi-lagi ketika hari cuti. Berhampiran Litar Go Kart ini adalah Stadium Shah Alam dan parking kereta yang luas yang biasanya menjadi tempat melepak kelab-kelab kereta. Kalau bernasib baik boleh lihat aksi drift disini.

Bayaran Masuk: Harga Biasa RM43 – RM85 | Harga Membership RM38 – RM75 (Bergantung kepada jenis Kart)

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (10.00am – 7.00pm) | Sabtu – Ahad (9.00am – 7.00pm)

Alamat: Level 1, Quadrant C, Shah Alam Stadium, Section 13, 40000 Shah Alam.

14. Shah Alam Extreme Park

Shah Alam Extreme Park

Shah Alam Extreme Park adalah tempat yang sesuai untuk anda beraktiviti lasak seperti bermain basikal BMX, skateboard, wall climbing, futsal dan paintball. Memang syok untuk bersantai dengan kawan-kawan yang satu kepala sambil beraktiviti di sini.

Disini juga ada restoran KFC, Burger King dan Pizza Hut. Boleh singgah sini untuk menjamu selera selepas penat beriadah.

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (10.00am – 11.00pm) | Sabtu – Ahad (9.00am – 11.00pm)

Alamat: Jalan Lompat Pagar 13/37, Seksyen 13, 40100 Shah Alam, Selangor.

15. Skytrex Shah Alam

Skytrex Shah Alam

Lagi satu tempat di mana anda dapat memburu adrenalin anda adalah Skytrex Shah Alam. Terletak di Taman Pertanian Malaysia, anda dapat melakukan aktiviti ekstrem dengan udara segar kerana dikelilingi pokok-pokok hijau. Antara aktiviti yang menanti anda di sini adalah flying fox, meluncur, bergayut dan macam-macam lagi dari pokok ke pokok, sebab itulah ia digelar SKY trekking. Syok apa dapat jadi tarzan sehari?

Skytrex Adventure ini dibuka setiap hari kecuali Isnin dan digalakkan untuk anda membuat tempahan online. Aktiviti di sini sesuai untuk yang memiliki stamina yang tinggi ya, kalau tak, tak larat pula anda nak rasai semua cabaran-cabaran di sini, rugi je kan? Apa-apa pun, kalau dapat mencuba sekali dalam seumur hidup beraktiviti lasak sebegini memang akan menjadi pengalaman yang tak dapat dilupakan.

Bayaran Masuk (Tempahan Online): Beginner RM35 | Intermediate RM45 | Advanced RM55

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Isnin (8.30am – 5.00pm)

Alamat: Jalan Liku 8/1, Seksyen 8, 40000 Shah Alam, Selangor.

16. Stadium Shah Alam

Stadium Shah Alam
Sumber: Mstar Online

Stadium yang telah lama menjadi mercu tanda penting di Shah Alam ini digunakan sebagai tempat perlawanan bola sepak dan menjadi tuan rumah untuk Selangor FA. Stadium ini dapat menampung penonton seramai 80,372 orang.

Kalau anda bukanlah peminat fanatik bola sepak, berdekatan dengan stadium ini terdapat litar Go Kart yang terkenal di Shah Alam.

Alamat: Stadium Shah Alam Seksyen 13, Selangor, 40100 Shah Alam.

17. Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah

Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah

Tempat menarik di Shah Alam yang wajib anda singgah. Masjid yang dirasmikan pada tahun 1988 ini adalah masjid yang kedua terbesar di Asia Tenggara selepas Masjid Istiqlal di Jakarta, Indonesia. Nama lain bagi masjid ini adalah Masjid Biru kerana kubahnya yang berwarna biru. Senibina masjid ini adalah hasil kombinasi senibina tradisional Islam dari Barat, India, Asia Barat dan Melayu.

Ia juga pernah memegang rekod sebagai masjid yang memiliki menara yang tertinggi di dunia sehingga dimasukkan di dalam Guinness World Records, namun pada tahun 1993, masjid yang memiliki menara tertinggi adalah Masjid Hassan II di Casablanca, Morocco.

Sultan Salahuddin, Sultan Selangor pada masa itu menyumbangkan jam antik yang berusia 600 tahun dan 4 buah lampu chandelier yang berharga lebih daripada 2 juta. Rasanya kisah tentang masjid ini sudah cukup menarik perhatian anda untuk datang ke sini dan menyaksikan sendiri keindahannya dengan lebih dekat lagi.

Alamat: Seksyen 14, 40000 Shah Alam, Selangor.

___

Terbukti sudah yang Shah Alam ini adalah sebuah bandar yang sempurna dengan pelbagai jenis tarikan. Tak kira siang ataupun malam, tempat santai mahupun aktiviti ekstrem semuanya ada di sini. Sesuai untuk anda datang bercuti bersama keluarga dan kawan-kawan.

Jadi tak perlu fikir lama-lama ke mana nak pergi pada hari cuti, datang je ke Shah Alam sebab banyak tempat menarik di Shah Alam yang boleh diterokai. Sure puas hati!

Semoga senarai 17 tempat menarik di Shah Alam ini dapat memberikan anda inspirasi dan dapat membantu anda merancang percutian sepanjang berada disini.

Sila tinggalkan komen dibawah sekiranya anda ada senarai tempat menarik di Shah Alam lain yang ingin dikongsikan kepada kami. Jangan lupa like CutiSini.com di Facebook, jadi anda akan terus-menerus dapat membaca artikel cuti-cuti Malaysia seperti ini. Terima kasih.

0 komen pembaca

Tiada komen lagi. Jadi yang pertama komen artikel ini.

Buat Komen

Nota: Alamat e-mel anda tidak akan dikongsi oleh pihak ketiga. Ruang bertanda * adalah wajib diisi.

Lagi Artikel Menarik