Homestay Kampung Balik Bukit terletak di Daerah Ayer Molek yang terletak lebih kurang 16.3 KM (kira-kira 22 minit) dari Bandar Ayer Keroh Melaka dan lebih kurang 152 KM (kira-kira 2 jam) dari pusat bandar Kuala Lumpur.

Penduduk di Kampung Balik Bukit ini rata-ratanya adalah kaum Melayu yang hidup di dalam suasana kampung dan menjalankan aktiviti pertanian dan pertukangan.

Disini terdapatnya sebuah Homestay iaitu Homestay Kampung Balik Bukit yang boleh disewa oleh pelancong yang ingin merasakan pengalaman hidup di kampung dan untuk mereka yang ingin lari dari kesibukan di kota untuk meluangkan masa bersama keluarga.

Homestay Kampung Balik Bukit

Homestay Kampung Balik Bukit Melaka

Pertama kalinya kami menjejakkan kaki kesini, terus-terang kami katakan kami terkejut kerana disini terdapatnya sawah padi. Dah banyak kali kami ke Negeri Melaka dan ini baru pertama kali kami lihat adanya sawah padi disini.

Mungkin kami kesini tidak pernah masuk ke kawasan kampung melainkan di Masjid Tanah dan Jasin. Jika di Negeri Selangor sawah padi boleh dilihat di Sekinchan dan Sungai Besar, manakala di Negeri Sembilan pula di Kuala Pilah.

penerangan kampung balik bukit oleh ketua kampung

Di Homestay Kampung Balik Bukit ini terdapatnya 2 buah rumah yang boleh digunakan oleh pengunjung yang berminat untuk menginap disini. Setiap rumah pula dilengkapi kelengkapan asas seperti tuala mandi, sabun, dapur, bilik berhawa dingin dan pelbagai lagi.

Selesa juga sepanjang kami berada disini dan yang paling penting adalah pemilik dan penduduk Kampung Balik Bukit ini yang tersangat-sangat mesra.

Aktiviti Di Homestay Kampung Balik Bukit

Aktiviti Di Homestay Kampung Balik Bukit

Mungkin ada diantara anda yang bertanya apakah aktiviti yang boleh dibuat di Homestay Kampung Balik Bukit ini bukan? Untuk pengetahuan anda, terlalu banyak aktiviti-aktiviti menarik yang boleh dibuat sepanjang berada disini.

Antara yang menarik adalah aktiviti di sawah padi yang sememangnya popular di sini yang boleh dilakukan oleh pelancong yang datang ke sini. Bagi yang tidak pernah mencuba aktiviti kampung, Homestay Kampung Balik Bukit adalah lokasi yang sesuai untuk anda merasai sendiri pengalaman berada di kampung dan melakukan aktiviti yang ada dikampung.

Ketika kesini, kami dan rakan media dihidangkan dengan ubi kayu rebus, sambal ikan bilis dan air kelapa selepas diarak mengelilingi kawasan kampung dengan menaiki kereta lembu. Memang best makan petang macam ni sambil melihat gelagat anak-anak kecil bermain di sawah padi atau dalam bahasa jawanya Bendang.

aktiviti menangkap ikan di homestay kampung balik bukit melaka

Petang tu aktiviti pertama yang rakan-rakan media buat adalah menangkap ikan di sawah padi dengan menggunakan tangan dan bubu. Ramai juga penduduk kampung yang turut serta didalam aktiviti ini bagi menyambut kedatangan pihak media dan memeriahkan suasasa.

Kelihatan ramai anak-anak kecil yang turut bermain di sawah padi bersama rakan-rakan media melakukan aktiviti kampung. Teringat dulu waktu kecil-kecil dahulu ketika pulang ke kampung di Sungai Haji Dorani, Sungai Besar bermain dan berkubang (mandi) di dalam sawah padi. Sampai dirotan oleh nenek sebab sampai maghrib tak reti nak balik ke rumah.

aktiviti bergayut di pokok homestay kampung balik bukit melaka aktiviti kampung di homestay kampung balik bukit melaka rakan media tangkap ikan di homestay kampung balik bukit melaka naik kerbau di homestay kampung balik bukit melaka

Selain aktiviti menangkap ikan, disini juga rakan-rakan media turut melakukan aktiviti bergayut di pokok, bermandi manda di parit, menangkap itik dan naik kerbau. Mesti ramai yang tak pernah rasai naik kerbau bukan?

Terus terang kami pun tak pernah naik kerbau ni. Memang tak berani. Tapi si Shazreen Fazlynda ni bukan main berani lagi sampai terjatuh naik kerbau. Kami sempat merakam video dia jatuh tu. Nanti anda tengok la bila video travelog dia bila dah siap.

_________

Secara keseluruhannya, sepanjang 1 hari kami dan rakan-rakan media berada di Homestay Kampung Balik Bukit, Ayer Molek Melaka ini ternyata membawakan seribu satu pengalaman yang tidak akan kami lupakan sampai bila-bila. Teringat lagi gelagat anak-anak kecil yang berlari-lari, riang ria menangkap ikan dan tolak menolak kawan-kawan ke dalam parit.

Terima kasih pada penduduk Kampung Balik Bukit, Encik Shamsul pemilik Homestay Kampung Balik Bukit, Pak Dol sekeluarga dan Pak Sulaiman atas layanan mesra sepanjang kami berada disini. InshaaAllah jika panjang umur kami akan kesini lagi.

Bagi yang ingin kesini anda boleh Hubungi Encik Shamsul di talian +6019-627 7678.

0 komen pembaca

Tiada komen lagi. Jadi yang pertama komen artikel ini.

Buat Komen

Nota: Alamat e-mel anda tidak akan dikongsi oleh pihak ketiga. Ruang bertanda * adalah wajib diisi.

Lagi Artikel Menarik