Senarai pusat membeli belah di Selangor ini adalah untuk rujukan kepada anda yang ingin melancong ke Negeri Selangor. Negeri Selangor sememangnya terkenal dengan banyak tempat membeli belah yang menarik yang boleh anda lawati sama ada untuk mencari cenderahati mahupun hanya untuk cuci-cuci mata.

Sebagai sebuah negeri termaju di Malaysia, menjadikan negeri Selangor sebagai negeri tumpuan seluruh rakyat Malaysia dan pelancong dari luar. Oleh yang demikian, banyak pusat membeli belah di Selangor ini didirikan bagi memenuhi kehendak pelanggan.

Walaupun banyak pusat membeli belah di Selangor ini namun hampir kesemua pusat membeli belah ini penuh dengan orang ramai terutamanya pada hari minggu dan waktu perayaan.

10 Pusat Membeli Belah Di Selangor Sering Dikunjungi

Destinasi di bawah merupakan beberapa pusat membeli belah di Selangor yang sering menjadi tumpuan terumatanya pada hujung minggu. Memang penuh dengan orang ramai terutamanya rakyat Malaysia sendiri.

Semoga artikel ini memberi inspirasi kepada anda yang kaki shopping untuk mencari tempat membeli belah yang terbaik di dalam negeri Selangor.

1. Sunway Pyramid

Sunway Pyramid Pusat Membeli Belah Di Selangor

Sunway Pyramid terletak di Subang Jaya merupakan pusat membeli belah di Selangor yang paling popular. Lokasi ini sering penuh dengan orang ramai terutamanya pada hari cuti.

Apa yang menariknya disini adalah rekabentuk mall menyerupai piramid dan tugu singa yang pasti menarik perhatian setiap pengunjung untuk bergambar. Bagi anda yang ingin bermain ice skating boleh datang ke sini untuk bermain. Disini juga terdapat hotel untuk anda berehat dan taman tema air Sunway Lagoon untuk anda beriadah bersama orang yang tersayang.

2. 1 Utama

1 Utama Pusat Membeli Belah Di Selangor

1 Utama merupakan pusat membeli-belah terkenal di Bandar Utama, Petaling Jaya. 1 Utama merupakan pusat beli-belah terbesar di Malaysia dan salah satu pusat beli-belah terbesar didunia. Harga barangan yang ditawarkan disini juga berpatutan dan tidak terlalu mahal walaupun barang tersebut adalah barangan berjenama.

Berbanding dengan pusat membeli belah yang lain yang hanya ada satu sahaja panggung wayang, 1 Utama mempunyai 2 panggung wayang untuk buat pilihan untuk tonton iaitu GSC Cinema atau TGV.

3. The Curve

The Curve Pusat Membeli Belah Di Selangor

The Curve terletak di Mutiara Damansara, Petaling Jaya. The Curve merupakan pusat gaya hidup terbuka yang ulung di Malaysia dengan dilengkapi lorong beli-belah khusus yang menjanjikan pengalaman baru kepada para pelanggan.

Dengan 250 kedai makanan dan butik fesyen yang didirikan jenama terkemuka, inilah tempatnya di mana seseorang dapat memperoleh kepelbagaian fesyen, hiburan yang penuh keseronokan dan makanan yang lazat. The Curve dilengkapi hiburan luar bangunan yang dipenuhi acara muzik dan kesenian sepanjang tahun.

4. IPC Shopping Centre

IPC Shopping Centre Pusat Membeli Belah Di Selangor

IPC Shopping Centre (dahulunya Ikano Power Centre) ialah sebuah pusat beli-belah yang terletak di Mutiara Damansara. Shopping Mall ini terletak bersebelahan sebuah gedung borong IKEA dan The Curve.

Antara tarikan utamanya ialah taman safari haiwan kesayangan, sebuah kedai buku Popular dan pasar raya mewah Cold Storage. Di tingkat bawah tanahnya terletaknya deretan restoran seperti Manhattan Sea Food, kopitiam Uncle Lim’s dan kedai makanan segera. IPC dan IKEA berkongsi tempat letak kereta dua tingkat. IPC disambungkan oleh jejantas dan laluan bawah tanah ke The Curve dan IKEA.

5. IKEA

IKEA

Bagi yang mencari barangan kelangkapan rumah atau taman seperti meja, sofa, katil dan sebagainya. IKEA yang terletak di Mutiara Damansara merupakan pusat membeli belah yang sesuai untuk anda. Disini terdapat pelbagai jenis perabot yang boleh dipilih dengan harga yang berpatutan.

IKEA juga popular dengan menu makanannya yang seringkali menjadi sebutan pengunjung. Antara yang menu popular disini adalah karipap dan meat ball. Memang sedap!

6. IOI Mall Puchong

IOI Mall Puchong

Pusat beli-belah IOI Mall pertama terletak di Bandar Puchong Jaya, Puchong. Pusat beli-belah ini asalnya meliputi keluasan tanah seluas 650,000 kaki persegi (60,000 m2), tetapi diperluas menjadi 1,000,000 kaki persegi (93,000 m2) setelah menjalani pengubahsuaian.

IOI Mall menempatkan sebuah gedung Jusco, pawagam Golden Screen Cinemas dan ratusan lot kedai barangan untuk pilihan pengujung yang kesini.

7. Paradigm Mall

Paradigm Mall

Paradigm Mall adalah pusat membeli belah terbaru di Selangor yang terletak di Kelana Jaya, Petaling Jaya. Rekabentuk luar pusat membeli belah ini memang menarik dan sentiasa menarik perhatian orang ramai dari luar.

Di pusat membeli belah ini banyak menawarkan barangan harian, barangan berjenama antarabangsa, barangan elektrik dan elektronik. Disini juga ada panggung wayang GSC bagi yang nak menonton wayang.

8. Setia City Mall

Setia City Mall

Setia City Mall merupakan sebuah kompleks membeli belah yang masih baru yang ada di Shah Alam. Di sini terdapat pelbagai jenis produk sama ada berjenama tempatan atau luar untuk dibeli. Tarikan hiburan keluarga juga banyak seperti bowling, wayang, capcom station dan sebagainya.

Memang sesuai untuk anda shopping mahupun sekadar untuk menghabiskan masa dengan hiburan indoor yang ada di sini.

9. Plaza Alam Sentral

Plaza Alam Sentral

Plaza Alam Sentral terletak di Shah Alam merupakan pusat membeli belah yang menjadi tumpuan oleh masyarakat yang tinggal di Shah Alam. Pusat membeli belah ini berkongsi dengan The Store sering dikunjungi terutamanya pada waktu perayaan.

Pelbagai program rancangan TV juga seringkali diadakan disini antaranya adalah Senario, Mentor dan banyak lagi. Pengunjung yang kesini juga boleh ke kompleks membeli belah lain yang berhampiran seperti Anggerik Mall, Kompleks PKNS, SACC Mall dan juga boleh beriadah di Taman Tasik Shah Alam yang bersebelahan dengan mall ini.

10. e@Curve

E@Curve

e@Curve atau nama sebelumnya Cinelesure Damansara terletak di Mutiara Damansara, Petaling Jaya. Bangunannya terletak bersebelahan dengan pusat membeli-belah The Curve.

Pusat beli-belah ini yang dibuka pada pertengahan tahun 2006 khusus sebagai tempat pawagam iaitu Cathay, dilengkapi pusat boling 60 lorong, disko, arked permainan video dan kedai peruncit bahan hiburan, serupa dengan Kompleks Cineleisure di Orchard Road, Singapura.

____

Selain dari tempat pusat membeli belah di Selangor seperti yang diatas ni, sebenarnya banyak lagi tempat membeli belah yang ada di dalam Selangor. Namun 10 di atas ini antara pusat membeli belah yang popular di kalangan masyarakat tempatan dan pelancong luar.

Semoga dengan perkongsian ini dapat membantu anda merancang percutian di Negeri Selangor pada masa akan datang.

Sila tinggalkan komen dibawah sekiranya anda ada pusat membeli belah di Selangor lain yang ingin dikongsikan kepada kami. Jangan lupa like CutiSini.com di Facebook, jadi anda akan terus-menerus dapat membaca artikel cuti-cuti Malaysia seperti ini. Terima kasih.

0 komen pembaca

Tiada komen lagi. Jadi yang pertama komen artikel ini.

Buat Komen

Nota: Alamat e-mel anda tidak akan dikongsi oleh pihak ketiga. Ruang bertanda * adalah wajib diisi.

Lagi Artikel Menarik