Kuala Lumpur dibina pada tahun 1857 di kuala sungai Gombak dan Klang. Dalam Bahasa Melayu, maksud namanya adalah “kuala berlumpur” yang bermula dari aktiviti pelombongan biji timah yang berjaya menarik perhatian ramai pedagang. Oleh kerana itu, sebuah bandar telah dilahirkan yang kini dikenali sebagai Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur merupakan kota yang kaya dengan tarikan bersejarah yang sangat banyak bahkan mungkin lebih banyak daripada kebanyakan negeri lain di dalam Malaysia. Terdapat banyak tempat bersejarah di Kuala Lumpur yang menjadi daya tarikan pelancong asing dan masyarakat tempatan.

Muzium Dan Tempat Bersejarah Di Kuala Lumpur

Di bawah merupakan kesemua tempat bersejarah di Kuala Lumpur yang menarik untuk dikunjungi antaranya seperti muzium, galeri, memorial, bangunan dan sebagainya.

Semoga sebahagian dari tempat bersejarah di Kuala Lumpur di bawah ini memberi anda inspirasi untuk mendalami nilai sejarah yang terdapat di ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur.

1. Dataran Merdeka

Dataran Merdeka Tempat Bersejarah di Kuala Lumpur

Dataran Merdeka dahulunya dikenali sebagai Padang Kelab Selangor terletak dipusat pentadbiran lama Kuala Lumpur. Destinasi ini memang sangat popular saban tahun ketika hari kemerdekaan kerana menjadi tempat perarakan rasmi sambutan Hari Merdeka.

Di sini jugalah tempat yang menjadi saksi pada 31 Ogos 1957 di mana bendera Union Jack diturunkan dan seterus bendera Federasi Malaya dinaikkan. Tiang bendera yang ada di sini merupakan tiang bendera yang tertinggi di Malaysia.

2. Bangunan Sultan Abdul Samad

Bangunan Sultan Abdul Samad Tempat Bersejarah di Kuala Lumpur

Bangunan Sultan Abdul Samad yang terletak di hadapan Dataran Merdeka adalah mercu tanda bagi bandar raya Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia. Bangunan ini mengambil nama Sultan Abdul Samad, sempena nama Sultan Selangor pada masa ia mula dibina 1894.

Di hadapan bangunan indah ini beberapa peristiwa sejarah berlaku. Di sinilah tempat di mana bendera Union Jack diturunkan pada 31 Ogos 1957 dan bendera Jalur Gemilang dikibarkan. Peristiwa ini menunjukkan berlalulah satu era dijajah kepada era masyarakat yang merdeka dan kini ianya menjadi satu tarikan pelancongan yang sangat terkenal di kalangan warga asing.

3. Muzium Bank Negara Malaysia

Muzium Bank Negara Malaysia

Setiap negera mempunyai muzium mata wangnya yang tersendiri dan kalau di Malaysia, salah satu tempat yang paling ideal untuk kita melihat sejarah perkembangan matawang negara adalah di sini. Anda boleh saksikan pelbagai pameran duit lama dan infografik berguna untuk pembelajaran tentang sejarah matawang.

Banyak sekolah dan universiti mengadakan lawatan ke Muzium Bank Negara Malaysia ini untuk belajar mengenai sejarah matawang Malaysia menjadikan lokasi ini antara tempat bersejarah di Kuala Lumpur paling kerap dilawati.

Tiket Masuk
Percuma

4. Muzium Telekom

Muzium Telekom

Muzium Telekom sekarang dikenali sebagai Muzium Telekomunikasi Negara. Ia terletak di antara Jalan Raja Chulan dan Jalan Gereja, Kuala Lumpur. Kalau anda mengadakan rombongan lawatan sambil belajar untuk pelajar-pelajar sekolah, destinasi ini sangat sesuai untuk dimasukkan ke dalam jadual perjalanan.

Muzium ini lebih tertumpu kepada sejarah telekomunikasi dari mula-mula terciptanya telefon sehinggalah berkembang kepada teknologi sekarang. Banyak replika-replika telefon lama dan alat telekomunikasi klasik yang ada di sini.

Tiket Masuk
Dewasa: RM6.00
Kanak-Kanak: RM3.00

5. Muzium Kesenian Islam Malaysia

Muzium Kesenian Islam Malaysia

Kompleks Muzium Kesenian Islam Malaysia ini ada memuatkan lebih tujuh ribu bahan sejarah dan artifak yang tidak terbilang nilainya dan Muzium Kesenian Islam ini juga dikatakan yang terbesar di Asia Tenggara.

Ianya dibina oleh hartawan bumiputera, Tan Sri Syed Bukhari, muzium seni Islam ini bukan sahaja yang terbesar di Asia Tenggara. Tapi dianggap sebagai muzium terbaik di Malaysia.

Terletak di Taman Tasik Perdana, muzium yang serius mendamaikan ini ada lebih 7,000 artifak dan sebuah perpustakaan yang memuatkan buku-buku berkenaan kesenian Islam dari seluruh dunia.

Antara artifak yang dipamerkan termasuklah model masjid-masjid di seluruh dunia, termasuk Masjidil Haram di Mekah dan kitab suci Al-Quran bersaiz sebesar ibu jari anda.

Tiket Masuk
Dewasa: RM14.00
Pelajar & Warga Emas 55 tahun ke atas: RM7.00
Kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah: Percuma

6. Muzium Negara

Muzium Negara

Muzium Negara yang menempatkan pelbagai jenis artifak popular di Malaysia yang sesuai untuk mereka yang nak lebih mendalami sejarah perkembangan negara kita. Banyak artifak warisan negara dari pelbagai pelosok negeri yang dipamerkan di sini dan ada yang menjangkau beribu tahun lamanya.

Muzium Negara mempunyai banyak galeri utama seperti galeri tentang sejarah Melayu, kerajaan-kerajaan Melayu, era kolonial dan Malaysia Kini. Muzium Negara merupakan destinasi tempat bersejarah di Kuala Lumpur yang patut anda kunjungi.

Tiket Masuk
Dewasa: RM 2.00
Kanak-kanak: RM1.00
Kanak-kanak berseragam sekolah dan di bawah umur 12 tahun masuk percuma.

7. Muzium Seni Kraf Orang Asli

Muzium Seni Kraf Orang Asli

Bangunan Muzium Seni Kraf Orang Asli terletak berhampiran dengan Muzium Negara. Struktur binaannya mempunyai sedikit persamaan dengan Muzium Negara. Kewujudan muzium ini dapat membantu mengekal dan memelihara warisan budaya kesenian Masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia amnya.

Muzium ini mengumpul bahan-bahan seni kraf Masyarakat Orang Asli yang mempunyai kaitan dengan cara hidup, budaya dan kepercayaan mereka, di samping cerita-cerita mitos dan legendanya serta maksud ukiran serta motif-motif yang ada pada bahan-bahan kraf tersebut.

Selain itu, muzium ini juga menyebarkan pengetahuan dan maklumat kepada masyarakat umum melalui pameran-pameran yang diadakan secara tetap dan sementara di muzium serta penerbitan-penerbitan berkala yang khusus mengenai koleksi dan berkaitan dengan Masyarakat Orang Asli.

Harga Tiket
Dewasa: RM 2.00
Warga Tua dan Orang Kelainan Upaya (OKU): RM 1.00
Kanak-kanak berseragam sekolah dan di bawah umur 12 tahun masuk percuma.

8. Muzium Tekstil Negara

Muzium Tekstil Negara

Muzium Tekstil Negara membawa anda meneroka kekayaan kepelbagaian dalam masyarakat Malaysia. Muzium ini menjejak aliran dan perkembangan tekstil yang telah mempercirikan dan membentuk gaya hidup masyarakat Malaysia sejak zaman pra-sejarah hingga kini.

Pengunjung dapat melawat empat galeri yang mempamerkan koleksi tekstil tersohor, aksesori dan pakaian. Persembahan multimedia turut menonjolkan teknik-teknik penghasilan tekstil di Malaysia.

Tiket Masuk
Percuma

9. Muzium Kesenian Asia

Muzium Kesenian Asia dan merupakan sebuah muzium yang diusahakan oleh Universiti Malaya. Artifak bersejarah yang ada di sini kebanyakannya di bawa dari dalam negara dan juga negara Asia yang lain.

Muzium Seni Asia telah dibuka secara rasmi pada tahun 1980 dan ditempatkan di dalam bangunan tiga tingkat yang terletak di antara Fakulti Undang-undang dan Fakulti Ekonomik dan Pentakbiran. Muzium ini memuatkan sehingga 2,000 kepingan seramik dari Malaysia, Thailand, Kemboja, Vietnam, China, Jepun, India dan Iran.

Selain seramik, muzium ini juga mempunyai koleksi kendi terbesar di dunia dan artifak bersejarah seperti keris picit yang dikatakan dibentuk dengan menggunakan jari.

Tiket Masuk
Percuma

10. Muzium Polis Diraja Malaysia (PDRM)

Muzium Polis Diraja Malaysia

Muzium Polis Diraja Malaysia (PDRM) ini mempamerkan beribu-ribu barangan menarik berkait dengan jenayah dan menghalang jenayah. Terdapat himpunan menarik semua perkara berkenaan kerja polis, dari zaman kesultanan melayu sehingga hari ini, menggambarkan kejadian dan mempamerkan memorabilia.

Koleksi senjata mempamerkan senjata-senjata yang pernah digunakan oleh Polis Diraja Malaysia dan juga yang telah dirampas. Selain itu terdapat juga koleksi anugerah yang diperolehi oleh anggota polis turut dipamerkan.

Pingat-pingat seperti Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa, Pingat Gagah Berani, Service Medal dan King’s Police Medal turut dipamerkan.

Tiket Masuk
Percuma

11. Muzium Diraja Negara

Muzium Diraja Negara

Sebelum Yang di Pertuan Agong beralih di istana pada hari ini, bangunan Muzium Diraja Negara inilah yang menjadi Istana untuk mereka. Selepas 2011 dan istana baru siap, barulah Istana ini diubah menjadi sebuah Muzium Diraja dan dibuka untuk lawatan orang ramai pada bulan Feb 2013.

Disini pengunjung boleh belajar tentang kediaman diraja yang mewah dan sangat cantik seperti balai rong, bilik beradu, bilik mandi, bilik bersolek dan pelbagai lagi ruangan dalam istana yang boleh anda masuk.

Tiket Masuk
Dewasa: RM5.00
Kanak-kanak 6-12 tahun: RM 2.00
Warga Emas & OKU: RM 3.00
Kanak-kanak tempatan 5 tahun ke bawah: Percuma

___

Percutian ke tempat bersejarah di Kuala Lumpur seperti di atas memang boleh dikatakan setanding dengan tarikan bersejarah Melaka kerana mempunyai banyak destinasi muzium dan kawasan mercu tanda yang bersejarah yang sangat tinggi nilainya.

Semoga dengan beberapa cadangan muzium dan tempat bersejarah di Kuala Lumpur seperti di atas memberi anda idea untuk mengenali tinggalan sejarah di negara kita.

Jika anda ada muzium dan tempat bersejarah di Kuala Lumpur yang ingin dikongsikan kepada kami, sila komen dibawah. Jangan lupa like CutiSini.com di Facebook, jadi anda akan terus-menerus dapat membaca artikel cuti-cuti Malaysia seperti ini. Terima kasih.

0 komen pembaca

Tiada komen lagi. Jadi yang pertama komen artikel ini.

Buat Komen

Nota: Alamat e-mel anda tidak akan dikongsi oleh pihak ketiga. Ruang bertanda * adalah wajib diisi.

Lagi Artikel Menarik