Senarai tempat menarik di Cameron Highlands ini adalah sebagai rujukan kepada anda yang ingin bercuti ke destinasi ini. Cameron Highland boleh dikatakan tempat percutian di Pahang yang paling popular bukan sahaja di kalangan orang Malaysia bahkan turut menjadi tumpuan pelancong luar negara untuk melihat keindahan flora & fauna di sini.

Tanah Tinggi Cameron Highland adalah sebuah pusat peranginan yang sesuai untuk percutian seisi keluarga. Suasana disekitar Cameron Highland yang sejuk dan dikelilingi kehijauan hutan amat sesuai untuk mereka yang mencari ketenangan dan ingin lari dari bunyi bising di bandar.

Tambahan pula pengunjung akan dapat menghirup udara segar dipagi hari. Berjalan kaki sambil melihat keindahan alam semulajadi akan membuatkan pengunjung lupa seketika masalah kerja.

Tempat Menarik di Cameron Highlands

Nak tahu apa tempat menarik di Cameron Highlands? Mari kita lihat senarai tempat menarik di Cameron Highlands untuk dilawati apabila anda berkunjung ke sini sama ada untuk bercuti ataupun atas urusan kerja.

Semoga dengan senarai tempat menarik di Cameron Highlands yang kami senaraikan dibawah ini sedikit sebanyak dapat membantu anda merancang percutian ke destinasi ini pada masa akan datang.

1. Ladang Teh Di Cameron Highlands

Ladang Teh Di Cameron Highlands
Sumber gambar: My Cameron Homestay

Dibawah kami senaraikan antara lokasi Ladang Teh yang boleh anda lawati sekiranya anda ke Cameron Highlands. Ladang-ladang teh ini sememangnya menjadi tumpuan pelancong selain dari ladang strawberry. Ambil peluang ini untuk rasa teh disini sambil menikmati keindahan pemandangan yang menghijau dalam cuaca yang sejuk.

Ladang Teh BOH – Terletak di Sungai Palas, Brinchang. Juga dikenali sebagai Boh Teh Centre Sungei Palas, destinasi ini sering menjadi tumpuan pelancong & sentiasa ramai orang pada waktu cuti sekolah atau hujung minggu. Jika kesini jangan lupa ikmati hidangan teh & pencuci mulut di kafe, melihat pameran, lawat kilang teh, membeli cenderahati teh BOH & yang paling best adalah menikmati keindahan panorama ladang teh boh yang terbentang luas.

Boh Tea Garden – Terletak di Ringlet juga dikenali sebagai Boh Tea Garden yang merupakan ladang teh Boh yang paling besar di Cameron Highland. Pemandangan hijau permaidani ladang teh pasti memberi satu ketenangan yang mengusik jiwa & kalau datang ke sini wajib bawa kamera untuk sesi ambil gambar sebagai kenangan. Di sini juga menempatkan sebuah cafe yang mana pelancong boleh menikmati rasa teh asli Boh yang segar & juga pelbagai aneka pencuci mulut seperti kek.

Cameron Valley Tea House 1 – Destinasi ini juga berkonsepkan kafe dengan pilihan aneka teh eksotik & pemandangan ladang teh yang indah adalah tarikan utama pelancong di sini. Makanan di sini lebih kepada yang santai-santai. Sebaik sudah merasai teh segar & melihat pemandangan dari kafe, bolehlah turun ke ladang teh melalui denai jalan yang disediakan. Melalu denai ke ladang teh dari Cameron Valley Tea House 1 lebih senang kalau nak dibandingkan dengan Cameron Valley Tea House 2.

Cameron Valley Tea House 2 – Ladang Teh Barat di Cameron Valley ini terletak tidak jauh dari kawasan Tanah Rata sekitar 2-3 km sahaja. Kalau bercakap pasal Ladang Teh Bharat, ada dua lokasi yang tidak jauh antara satu sama lain sekitar 1 km sahaja & sering menjadi kunjungan pelancong untuk melawat tadang teh yang dikendalikan oleh Bharat Group iaitu Cameron Valley Tea House 1 & Cameron Valley Tea House 2. Lokasinya berbeza tetapi konsep produk pelancongan adalah sama.

Taman Agroteknologi MARDI – Sebuah tempat penyelidikan yang telah dibuka dibawah pengurusan institusi kerajaan. Di dalam Taman Mardi yang seluas lebih 40 hektar ini terdapat beberapa tarikan utama seperti tapak penyemaian, kebun pohon-pohon bunga, ladang dan juga kawasan penanaman untuk pokok-pokok teh. Banyak sebenarnya tarikan tumbuhan lain seperti bunga-bungaan, periuk kera, sayuran & sebagainya.

2. Ladang Strawberry Di Cameron Highlands

strawberry farm tempat menarik di cameron highlands
Sumber gambar: amitravel

Selain dari Ladang Teh, Ladang Strawberry merupakan antara destinasi yang wajib dikunjungi sekiranya anda ke Cameron Highlands. Disini anda berpeluang untuk merasa strawberry yang segar dan alami sendiri pengalaman memitik buah strawberry. Dibawah kami senaraikan lokasi Ladang Strawberry yang anda boleh singgah.

YZ Agro Farm – Destinasi ini terletak di Kampung Taman Sedia & 100% diusahakan oleh Bumiputera Mohd Yusoff bin Abdul Satar bersama rakan kongsi Zulkefli Zahari pada 2011. Pengunjung boleh merasai pengalaman memetik buah strawberi dari kebun bersama keluarga & anak-anak. Disini ada kafe yang menyediakan makanan berat seperti nasi lemak, mee kari atau makanan santai seperti waffle, scone, aiskrim & sebagainya yang fresh dibuat menggunakan strawberi dari kebun.

KHM Strawberries & Jam – Salah satu kebun strawberi di Cameron Highland yang pertama yang diusahakan oleh orang Melayu & lokasinya juga bertempat di Kampung Taman Sedia iaitu sebuah kawasan perkampungan yang juga dikenali dengan Kampung Melayu Cameron Highland. Destinasi ini juga merupakan tempat yang sangat ideal untuk anda merasai pengalaman memetik buah strawberi yang fresh & boleh dibawa balik. Ada juga tempat jualan strawberi yang sudah siap dibungkus serta pilihan jem strawberi yang sangat sesuai untuk dijadikan buah tangan.

Big Red Strawberry Farm – Destinasi pelancongan yang menarik di Tanah Rata ini hanya terletak bersebelahan dengan Cactus Valley. Ladang ini menempatkan deretan barisan pokok-pokok buah strawberi yang sangat menarik terutamanya ketika musim berbuah. Suasana di sini juga memang sangat nyaman dan kebersihan landskap ladang ini juga dijaga dengan baik sekali.

3. Kebun & Taman Di Cameron Highlands

Lavender Garden tempat menarik di cameron highlands
Sumber gambar: sitifatimahdullah

Selain dari Ladang Teh dan Ladang Strawberry, Cameron Highlands juga mempunyai destinasi lain yang tidak kurang menariknya yang boleh anda singgah. Lagi seronok jika anda bawa keluarga anda ke lokasi-lokasi ini untuk alami sendiri pengalaman yang tidak akan anda dapat di tempat lain.

Cactus Point – sebuah kebun yang mempunyai pelbagai jenis pokok kaktus baik yang besar atau yang kecil didalam pasu. Memang sesuai untuk dijadikan destinasi lawatan bersama anak-anak untuk lebih mengenali pokok-pokok berduri yang eksotik ini. Di sini juga mempunyai beberapa tumbuhan pokok bunga yang tidak kurang menariknya.

Cactus Valley – Cactus Valley atau Lembah Kaktus ini merupakan satu lagi kawasan tempat menarik di Cameron Highland yang sudah lama berada di sini dan sering menjadi kunjungan pelancong untuk melihat ratusan pokok-pokok cactus yang pelbagai bentuk dan pelbagai saiz. Ada juga pokok kaktus di sini dikatakan mencecah usia sehingga enam puluh tahun. Selain pokon-pohon kaktus di sini juga ada beberapa spesis pokok lain seperti pokok buah epal, pokok bunga dan sebagainya.

Lavender Garden – Terletak terletak di antara Kuala Terla dan Tringkap dibuka untuk lawatan pelancong secara rasminya sekitar 2013 dan suasana taman ini memang sangat cantik dengan barisan-barisan pokok-pokok bunga yang berwarna-warni. Walaupun nama kebuh ini ialah Lavender, terdapat juga bunga-bunga lain yang menjadi tarikan pelancong seperti pokok bunga kamelia, pokok bunga mawar, bunga daisy dan sebagainya.

Butterfly Garden – Terletak di Kea Farm, anda akan jumpa taman ini dalam empat kilometer selepas melalui kawasan pekan Brinchang. Di sini pengunjung boleh bermain dengan rama-rama yang ada secara bebas tanpa halangan pagar. Taman rama-rama ini juga tertutup bagi mengelakkan bintang comel ini terbang ke tempat lain. Selain rama-rama ada juga beberapa binatang eksotik lain untuk tontonan umum seperti kala jengking, cicak, serangga kumbang dan juga ular.

Bee Farm – Terletak berdekatan dengan Pasar Kea Farm dan juga Equatorial Resort. Ladang ini merupakan tempat pembiakan lebah yang diletakkan di dalam sarang buatan untuk menghasilkan madu. Disini anda boleh membeli madu-madu segar yang dihasilkan oleh lebah-lebah di ladang ini. Ada juga ruangan tempat membeli produk lebah seperti madu, losyen madu & juga sabun-sabun yang dibuat daripada madu.

Fragrance Nursery – Selain di Taman Bunga Lavender, di sini juga merupakan tempat yang sangat sesuai untuk mereka yang gemar melihat bunga-bunga segar. Selain itu, ada juga pokok lain yang tumbuh di sini seperti buah strawberi dan juga anggur. Malah pengunjung boleh membeli produk-produk yang dipetik di sini baik untuk makan sendiri atau untuk dijadikan buah tangan untuk keluarga di rumah.

Ladang Anggur Bertam Valley – Kalau anda bercadang ke sini untuk lihat pokok anggur, pastikan anda periksa waktu musim berbuah setiap ladang anggur di Cameron Highland sekitar bulan Mac atau September. Kadang-kadang ada juga bulan Mei baru anggur di sini masak ranum & sesuai untuk dipetik. Pengunjung boleh merasai pengalaman memetik buah anggur & beli sebagai buah tangan, harganya sekitar RM20-23 sekilo bergantung kepada pasaran harga semasa. Selain anggur, ada juga beberapa tanaman di sini yang menjadi tarikan pelacong seperti jagung, sawi, kacang & sebagainya.

Ladang Anggur Blue Valley – Selain di Bertam Valley, Ringlet ada satu lagi ladang anggur di Cameron Highland untuk anda melihat tanaman buah anggur iaitu Ladang Anggur Blue Valley. Selain anggur, disini juga menempatkan pokok-pokok buah tomato yang banyak. Sesuailah untuk anda mencari sayuran segar atau mungkin datang untuk melihat suasana yang unik ini sambil bergambar untuk kenang-kenangan percutian anda di Cameron Highlands.

Orkid & Rose Garden – Pelbagai jenis bunga dan sayur-sayuran terdapat disini. Anda dapat melihat sendiri bunga yang mekar dan sayur-sayuran yang ditanam. Tapi awas jika anda terpetik bunga di kawasan ini anda akan dikenakan denda sebanyak RM50. Waktu operasi setiap hari dari jam 8.00 pagi sehingga 6.00 petang dan dikenakan cas bayaran masuk sebanyak RM5.00 untuk dewasa dan RM2.00 untuk kanak-kanak.

4. Lain-lain Tarikan di Cameron Highlands

lata iskandar tempat menarik di cameron highlands
Sumber gambar: Loeffle

Cameron Adventurous – Sekiranya anda inginkan aktiviti menarik di Cameron Highland yang lebih mencabar, apa kata mencuba menikmati pemandangan ladang teh di Kuala Terla dengan menggunakan kenderaan seperti 4×4, jeep ataupun ATV. Perkhidmatan sewa kenderaan sebegini disediakan oleh Cameron Adventurous yang terletak di Kuala Terla & kira-kira 2km dari Lavender Garden. Cameron Adventurous menawarkan 3 produk pelancongan untuk pengunjung seperti 4×4 Safari, ATV Safari & Extreme ATV.

Pasar Malam – Pasar malam ini terletak di antara Pekan Brinchang & Tanah Rata. Waktu operasi dibuka setiap hari Jumaat dan Sabtu bermula lewat petang sampailah ke malam. Berbeza dengan pasar malam yang biasa kita pergi kat rumah, di sini kebanyakan barangan yang dijual semuanya adalah hasil daripada produk di Cameron Highland sendiri seperti sayur-sayuran, buah strawberi, serbuk teh, cenderahati dan sebagainya.

3D Wall Art Studio – Destinasi yang wajib anda pergi dengan keluarga disini terdapat pelbagai variasi lukisan mural dinding 3D yang berlainan dengan tarikan yang pasti membuatkan anak-anak suka. Kalau datang sekeluarga, bolehlah ambil gambar ramai-ramai dalam posisi yang betul yang akan menghasilkan satu photo yang seakan-akan hidup. 3D Art Museum Cameron Highland terletak di aras 2 berdekatan shopping mall di Nova Complex, Cameron Square.

Muzium Time Tunnel – dibina untuk mengekalkan memori bersejarah dan warisan budaya untuk Cameron Highand sendiri. Destinasi ini hanya terletak di Brinchang dan lokasi muzium ini juga berada di aras bawah di dalam Ladang Strawberi Kok Lim. Muzium ni sebenarnya memaparkan barangan koleksi peribadi See Kok Chan iaitu seorang peduduk setempat di Cameron. See ni seorang yang suka akan benda-benda yang antik atau barangan yang berusia. Makin lama usia sesuatu koleksi barangan maka makin berharga nilainya.

Pasar Kea Farm – Pasar Kea Farm ini terletak tidak jauh dari pekan Brinchang dan lokasinya juga hanya lebih kurang 2-3km dari Tringkap. Destinasi ini merupakan pasar yang menjual pelbagai barangan tempatan seperti buah-buahan seperti strawberi/jagung/oren, sayur mayur, barangan cenderahati, makanan ringan dan sebagainya.

Puncak Gunung Brincang & Mossy Forest – Sekiranya anda sukakan aktiviti jungle trekking, boleh mencuba denai-denai menuju ke Puncak Gunung Brincang & juga ke Mossy Forest. Puncak Gunung Brincang merupakan kawasan tertinggi di Cameron Highland & dari sini anda boleh melihat pemandangan cantik dari kawasan puncak & bahkan boleh nampak bandaraya Ipoh kalau dilihat dari menara tinjau di sini. Sesuai untuk ke sini pada waktu pagi & petang ketika matahari sedang tenggelam atau naik.

Observation Tower – Jika anda merancang untuk ke Mossy Forest dan berniat untuk meneruskan perjalanan ke puncak Gunung Brinchang jangan lepaskan peluang untuk melihat pemandangan dari atas Observation Tower. Di puncak nanti anda berada 2032 meter dari paras laut dan dari sini anda dikelilingi pemandangan menakjubkan yang terbentang luas dihadapan mata.

Lata Iskandar – Dalam perjalanan ke Cameron Highland, 25 kilometer sebelum sampai ke pekan Ringlet, terdapat sebuah air terjun bernama Lata Iskandar. Air terjun ini mempunyai ketinggian 25 meter dan amat sesuai untuk mereka yang mencari tempat untuk menyejukkan badan pada hari yang panas. Pada hari cuti sekolah atau hujung minggu tempat ini dibanjiri dengan pelancong yang datang untuk menikmati keindahan air terjun tersebut.

Air Terjun Robinson – Jika anda lebih cenderung kepada aktiviti luaran dan ingin melihat keindahan alam yang ditawarkan oleh Cameron Highland singgah sebentar di air terjun Robinson. Air Terjun Robinson merupakan satu daripada tiga air terjun popular di Cameron Highland. Untuk ke air terjun ini anda perlu berjalan sebentar di dalam hutan, bagus jika anda penggemar aktiviti jungle trekking.

Air Terjun Parit – Air Terjun Parit ini tersembunyi didalam taman rekreasi Kampung Sedia tidak jauh jika anda berjalan kaki dari tanah rata 800 meter dari Hotel Pines Century. Selain daripada bermandi di air terjun pelawat juga dapat menikmati keindahan hutan hijau yang mengelilingi air terjun tersebut. Terdapat jalan-jalan kecil jika anda minat jungle trekking. Jika anda merancang untuk memandu kesini anda boleh parking di tempat letak kereta percuma yang disediakan. Di sini juga terdapat kelengkapan lain seperti tempat permainan kanak-kanak dan tandas.

Gunung Irau – Gunung Irau adalah gunung yang tertinggi di Cameron Highland dan puncaknya terletak 2110 meter diatas paras laut. Jika anda mencari tempat menarik untuk mendaki gunung semasa berada di Cameron Highland mungkin Gunung Irau jawapannya.

___

Tidak dinafikan Cameron Highlands sememangnya destinasi pelancongan yang terbaik untuk bercuti kerana disini ada banyak tarikan pelancongan, pilihan makanan yang pelbagai, penginapan dan lokasi membeli belah yang boleh dikunjungi. Maka tidak hairanlah Cameron Highlands terkenal dikalangan penduduk tempatan dan pelancong dari luar. Semoga panduan tempat menarik di Cameron Highlands yang ringkas ini memberi anda inspirasi untuk bercuti ke destinasi ini pada masa akan datang.

Sila tinggalkan komen dibawah sekiranya anda ada tempat menarik di Cameron Highlands lain yang ingin dikongsikan kepada kami. Jangan lupa like CutiSini.com di Facebook, jadi anda akan terus-menerus dapat membaca artikel menarik seperti ini. Terima kasih.

0 komen pembaca

Tiada komen lagi. Jadi yang pertama komen artikel ini.

Buat Komen

Nota: Alamat e-mel anda tidak akan dikongsi oleh pihak ketiga. Ruang bertanda * adalah wajib diisi.

Lagi Artikel Menarik