Senarai tempat menarik di Kuala Lumpur ini adalah untuk rujukan kepada anda yang ingin bercuti ke Kuala Lumpur. Kuala Lumpur menawarkan pelbagai jenis tarikan pelancongan yang boleh dikunjungi malah menjadi salah satu destinasi percutian yang sangat popular di Malaysia di kalangan warga asing.

Walaupun pada anggapan kita luas kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur tidak sebesar kebanyakan negeri-negeri lain, namun sebaliknya memang banyak tempat menarik di Kuala Lumpur yang boleh dilawati.

Bahkan, ada banyak destinasi pelancongan di Kuala Lumpur yang hanya boleh didapati di sini dan tiada di tempat lain. Dan yang paling menariknya tentang Kuala Lumpur ini adalah, semua makanan tradisional setiap negeri di Malaysia boleh dijumpai di sini.

Lokasinya juga strategik berdekatan dengan banyak tarikan pelancongan di negeri berjiran seperti destinasi menarik di Melaka, Selangor ataupun Negeri Sembilan.

Tempat Menarik Di Kuala Lumpur

Nak tahu apa yang menarik di Kuala Lumpur? Mari kita lihat senarai tempat menarik di Kuala Lumpur untuk dilawati apabila anda berkunjung ke sini! Selain daripada tempat-tempat yang menarik, Kuala Lumpur juga terkenal dengan syurga makanan dan membeli belah.

Semoga dengan senarai tempat menarik di Kuala Lumpur yang kami tulis dibawah dapat membantu anda merancang percutian ke Kuala Lumpur pada masa akan datang.

1. Dataran Merdeka

Dataran Merdeka tempat menarik di kuala lumpur

Dataran Merdeka Kuala Lumpur ini memang sangat popular kerana setiap tahun ketika hari kemerdekaan lokasi ini menjadi tempat perarakan rasmi sambutan Hari Merdeka. Di sini jugalah tempat yang menjadi saksi pada 31 Ogos 1957 di mana bendera Union Jack diturunkan dan seterus bendera Federasi Malaya dinaikkan.

Tiang bendera yang ada di sini merupakan tiang bendera yang tertinggi di Malaysia. Lokasi ini sering menjadi tumpuan masyarakat tempatan dan juga warga asing. Paling best pada waktu bulan puasa. Dataran Merdeka pasti penuh dengan umat islam yang menjadikan lokasi ini sebagai tempat untuk berbuka puasa ala potluck.

2. Kuala Lumpur City Centre (KLCC)

Kuala Lumpur City Centre KLCC tempat menarik di kuala lumpur

Kuala Lumpur City Centre (KLCC) ini berketinggian 452 meter dari tanah, dan mempunyai 88 tingkat yang mana kebanyakkannya ada pejabat-pejabat dan dilengkapi dengan membeli-belah yang terletak di tingkat bawah iaitu Suria KLCC. Kedua-dua menara ini dihubungkan melalui sebuah jambatan dua tingkat (double-decker) di tingkat 41 dan 42 yang mana panjangnya 192kaki dan tinggi 175m dari atas tanah.

Menara Berkembar Petronas (KLCC) pernah mencatat rekod sebagai bangunan tertinggi di dunia sehingga tahun 2004 dan merupakan antara tempat menarik di Kuala Lumpur yang sering menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.

3. Aquaria KLCC

Aquaria KLCC tempat menarik di kuala lumpur

Aquaria KLCC adalah sebuah akuarium laut dalam bangunan yang mempamerkan lebih 5,000 jenis hidupan akuatik yang bergerak bebas dalam 60,000 kaki persegi ruang kaca di Concourse Level KLCC.

Lokasinya di tengah-tengah “Segitiga Emas” Kuala Lumpur dan anda hanya perlu berjalan kaki dari Menara Berkembar PETRONAS untuk sampai ke sana. Sesuai untuk bawa anak-anak anda kesini untuk lihat pelbagai jenis hidupan akuatik.

4. Menara Kuala Lumpur (KL Tower)

menara kuala lumpur kl tower

Menara Kuala Lumpur (KL Tower) merupakan mercu tanda kebanggaan rakyat Malaysia. Menara ini merupakan menara ke-4 tertinggi didunia berketinggian 421 meter. Ia dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia ke-4, Tun Dr. Mahathir Mohammad. Ia terletak di puncak Bukit Nenas.

Menara Kuala Lumpur dikelilingi oleh kehijauan Hutan Hujan Simpan Bukit Nenas, ia membentuk satu mini ekosistem yang terletak di tengah-tengah bandar menjadikan ia unik dan tersendiri.

5. Petrosains (The Discovery Centre)

petrosains-kuala-lumpur-tempat-menarik-di-kuala-lumpur

Petrosains terletak di tingkat 4 pusat membeli belah Suria KLCC. Ia menawarkan pengunjung gambaran tentang industri minyak dan gas di Malaysia, dengan penggunaan kepakaran teknologi tinggi.

Setiap kali musim cuti sekolah, destinasi ini sering menjadi pilihan rombongan institusi pengajian terutamanya sekolah rendah kerana di sini mereka boleh berseronok sambil belajar tentang sains. Pendekatan tarikan yang hands-on ini pasti akan memudahkan pelajar-pelajar untuk memahami dengan lebih mudah akan sesuatu teori dalam subjek sains.

6. KL Bird Park

Taman Burung Kuala Lumpur KL bird park

Siapa sangka ada taman burung di tengah-tengah bandaraya yang sibuk. KL Bird Park merupakan taman burung yang mempunyai lebih dari 5,000 ekor burung dari 50 spesis. Disini pengunjung boleh melihat sendiri pelbagai spesis burung. Turut juga diadakan pertunjukkan burung (biasanya hari minggu).

Pelawat yang datang kesini juga boleh memberikan makanan yang disediakan khas oleh petugas KL Bird Park kepada burung yang ada ditaman ini. Cuba sendiri pengalaman memberikan makanan burung. Pasti teruja!

7. Zoo Negara

zoo negara kuala lumpur

Zoo Negara Kuala Lumpur merupakan tempat menarik di Kuala Lumpur yang mesti dimasukkan kedalam senarai anda jika membawa anak-anak melancong ke Kuala Lumpur.

Disini anak-anak anda akan belajar mengenal berbagai jenis binatang dan spesis masing-masing. Ia juga satu bentuk pembelajaran dimana mereka dapat melihat sendiri binatang tersebut didalam habitat semulajadi.

8. Muzium Negara

muzium negara kuala lumpur

Muzium Negara yang menempatkan pelbagai jenis artifak popular di Malaysia yang sesuai untuk mereka yang nak lebih mendalami sejarah perkembangan negara kita. Banyak artifak warisan negara dari pelbagai pelosok negeri yang dipamerkan di sini dan ada yang menjangkau beribu tahun lamanya.

Muzium Negara mempunyai banyak galeri utama seperti galeri tentang sejarah Melayu, kerajaan-kerajaan Melayu, era kolonial dan Malaysia Kini.

9. Taman Orkid Kuala Lumpur

taman orkid kuala lumpur

Bagi yang meminati dengan orkid, bolehlah singgah di Taman Orkid ini yang terletak hanya berhadapan dengan Taman Burung KL. Dalam kawasan yang seluas satu hektar ini, mereka ada menempatkan pelbagai jenis spesis pokok orkid yang sangat sesuai untuk bergambar dan santai-santai bersama keluarga mahupun yang tersayang.

Selain dari melihat orkid-orkid di dalam taman berlandskap, mereka yang ingin untuk membawa cenderamata pulang boleh membeli orkid hidup dan atau potongan orkid dari beberapa kedai kecil sekitar taman.

10. Hutan Simpan Bukit Nenas (Taman Eko Rimba KL)

Taman Eko Rimba KL

Hutan Simpan Bukit Nenas merupakan tarikan hutan semulajadi yang ada di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur. Jika anda peminat kepada alam semulajadi anda boleh pergi ke hutan simpan ini dan tidak perlu pergi jauh-jauh semata-mata nak menikmati keindahan alam semulajadi.

Di sini terdapat canopy walk yang membolehkan pengunjung berjalan melaluinya untuk menikmati keindahan pokok-pokok dan ungas-ungas di sekitarnya.

___

Semoga panduan tempat menarik di Kuala Lumpur ini dapat memberikan anda inspirasi dan dapat membantu anda merancang untuk bercuti ke Kuala Lumpur pada masa akan datang.

Jika anda ada tempat menarik di Kuala Lumpur yang ingin dikongsikan kepada kami, sila komen dibawah. Jangan lupa like CutiSini.com di Facebook, jadi anda akan terus-menerus dapat membaca artikel cuti-cuti Malaysia seperti ini. Terima kasih.

0 komen pembaca

Tiada komen lagi. Jadi yang pertama komen artikel ini.

Buat Komen

Nota: Alamat e-mel anda tidak akan dikongsi oleh pihak ketiga. Ruang bertanda * adalah wajib diisi.

Lagi Artikel Menarik