Tempat menarik di Sabah ini adalah sebagai rujukan kepada anda yang ingin bercuti ke negeri ini. Sabah cukup terkenal dengan tempat pelancongan yang kaya dengan tarikan alam semulajadi terutamanya pulau-pulau, pantai, taman negara dan sebagainya.

Di samping keindahan bentuk muka bumi, negeri di bawah bayu ini turut menawarkan pelbagai aktiviti menarik yang kebanyakannya dapat mendekatkan anda dengan keindahan dan keunikan alam semulajadi.

25 Tempat Menarik di Sabah

Nak tahu apa tempat menarik di Sabah? Mari kita lihat senarai 25 tempat menarik di Sabah untuk dilawati apabila anda berkunjung ke sini sama ada untuk bercuti ataupun atas urusan kerja.

Semoga dengan senarai tempat menarik di Sabah yang kami tulis dibawah ini sedikit sebanyak dapat membantu anda merancang percutian ke negeri ini pada masa akan datang.

1. Taman Kinabalu

taman kinabalu sabah tempat menarik di sabah

Taman Kinabalu merupakan pintu masuk ke Gunung Kinabalu dan tempat menarik di Sabah yang paling popular dan terkenal sebab orkid liarnya dan suasananya yang sejuk.

Ia terletak 1,585 meter di atas paras laut dan menjadi tapak permulaan bagi pendakian ke puncak Gunung Kinabalu. Ia meliputi kawasan seluas 754 km persegi dan merangkumi Gunung Kinabalu, Gunung Tambayukon dan kaki bukit.

Kalau anda mahu ambil angin dan merasa bergambar dengan latar belakang gunung Kinabalu, ini adalah salah satu tempatnya. Tapi anda perlu cergas sebab tempat ini besar. Jadi anda memang banyak berjalan.

2. Rainforest Discovery Centre

Rainforest Discovery Centre tempat menarik di sabah

Rainforest Discovery Centre (RDC) di Sepilok, Sandakan adalah sebahagian dari Hutan Simpan Kabili-Sepilok – merupakan Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok dan tempat menarik di Sabah untuk aktiviti kajian alam semulajadi Borneo.

Bersiar-siar di dalam hutan atau berjalan di sepanjang 147-meter panjang laluan pejalan kaki kanopi dan nikmati pemandangan hutan hujan yang indah – 28 meter di atas tanah.

Berjalan kaki pada waktu malam di sepanjang denai juga memberikan peluang kepada pelawat untuk melihat hidupan liar yang tinggal di dalam hutan ini, seperti pelanduk, musang, tarsier comel dan pelbagai jenis serangga dan burung.

Bagi pencinta flora, terdapat banyak yang boleh dilihat di taman ini antaranya kira-kira 250 spesis orkid asli yang berkembang mekar. Keluarga orkid adalah kumpulan tumbuhan berbunga terbesar di seluruh dunia dengan kira-kira 25,000 spesis liar secara keseluruhan.

3. Pulau Sipadan

pulau sipadan sabah tempat menarik di sabah

Pulau Sipadan merupakan tempat menarik di Sabah untuk kategori pulau, dan ianya menjadi tarikan antara 10 pulau terpilih di dunia. Pulau ini terletak 700m dari dasar laut dan hanya berkeluasan 12 hektar, satu-satunya pulau laut di Malaysia ini mempunyai saiz yang agak kecil.

Pelawat boleh berjalan mengelilingi pulau ini dalam masa 25 minit sahaja, tetapi ia menjadi tarikan kepada pelbagai hidupan laut yang datang dari dasar laut. Pulau yang dikelilingi air laut yang bersih dan jernih ini mempunyai kekayaan hidupan laut yang menakjubkan.

Anda pasti akan terserempak dengan penyu, kumpulan ikan aji-aji, ‘bumphead parrotfish’ dan ikan alu-alu semasa menyelam di sekitar perairan pulau terumbu karang ini. Hidupan krustasia eksotik termasuk ketam kenari yang menarik bertaburan di tepi pantai dan bersembunyi di celah-celah tumbuhan.

4. Taman Marin Tunku Abdul Rahman

Taman Marin Tunku Abdul Rahman

Terletak kira-kira 10 ke 20 minit perjalanan menaiki bot laju dari ibu negeri Sabah, Kota Kinabalu, Taman Marin Tunku Abdul Rahman terdiri daripada lima buah pulau yang indah yang berkeluasan melebihi 4929 hektar, dua pertiga daripadanya adalah laut.

Bagi yang sukakan aktiviti lasak anda boleh mencuba Coral Flyer merentasi pulau-pulau disini. Memang satu pengalaman yang tidak akan dilupakan. Pulau-pulau terdiri daripada Pulau Manukan, Pulau Mamutik, Pulau Sulug, Pulau Gaya dan Pulau Sapi mempunyai pantai berpasir putih yang penuh dengan ikan dan terumbu karang. Sesuai untuk penyelam baru dan berkelah.

Disini juga anda dapat melihat kepelbagaian flora dan fauna eksotik. Anda pasti dapat melihat spesis yang jarang ditemui seperti Megapode atau Burung Tambun, burung yang kelihatan seperti ayam dengan kaki besar dan berbunyi seperti kucing.

5. Lembah Danum

Lembah Danum

Kawasan Pemuliharaan Lembah Danum yang terletak 83 km ke barat daya Lahad Datu kaya dengan kepelbagaian flora dan fauna. Hutan cantik ini menjadi habitat bagi Badak Sumatera, orang utan, ungka, pelanduk dan harimau akar. Lebih kurang 270 spesis burung telah direkodkan di kawasan ini.
Pusat Kajian Lapangan Danum terletak di dalam kawasan hutan simpan seluas 440 kaki persegi.

Ia turut menjadi salah sebuah eko-resort pertama di Sabah yang dikenali sebagai Borneo Rainforest Lodge dan menjadikannya salah satu tempat menarik di Sabah. Resort ini memiliki restoran, bar dan chalet yang selesa mengadap Sungai Danum.

Antara aktiviti yang ditawarkan adalah berjalan dalam hutan, berenang di sungai, memerhati burung, lawatan hutan waktu malam dan melawat hutan balak dan kilang balak berhampiran.

6. Safari Monkey Tops

Safari Monkey Tops

Safari Monkey Tops merupakan hutan tanah lembap yang kaya dengan tumbuh-tumbuhan dan hidupan liar seperti monyet proboscis, monyet long tail ( macaques), buaya, kelip-kelip dan pelbagai spesis burung.

Bangunan utamanya diperbuat daripada bahan tempatan dan boleh memuatkan 200 orang pengunjung pada satu-satu masa. Kompleks ini menempatkan bar kaunter dan sebuah kedai cenderahati yang menjual pelbagai barangan kraf tempatan.

Ia turut memiliki menara pemerhati setinggi 30 kaki yang membolehkan anda menikmati pemandangan tanah lembap tropika dan hidupan liar di tebing sungai. Kompleks ini mempunyai laluan papan setinggi 500 kaki beratap nipah dan sebuah jeti sungai yang menawarkan pelayaran sungai yang selesa.

7. Via Ferrata Gunung Kinabalu

Via Ferrata Gunung Kinabalu

Via Ferrata (atau laluan besi dalam bahasa Itali) merupakan jalan gunung yang merangkumi beberapa siri anak tangga, rel dan kabel yang melekap pada permukaan batu. Terdapat lebih daripada 300 laluan via ferrata di dunia dan via ferrata tertinggi di dunia kini boleh ditemui di Gunung Kinabalu.

Ini kali pertama sukan mendaki gunung menggunakan via ferrata diperkenalkan di Asia dan tempat menarik di Sabah untuk mencabar diri anda pada ketinggian. Via ferrata dibina untuk membantu mereka yang ada sedikit atau tiada pengalaman langsung untuk sampai ke permukaan batu yang biasanya dicapai oleh pendaki berpengalaman.

Laluan pertengahan mengambil masa 4 – 5 jam perjalanan dan sebagai ganjaran para pendaki akan dapat menikmati keindahan pemandangan yang cantik.

8. Memorial Perang Kundasang

Memorial Perang Kundasang

Memorial Perang Kundasang merupakan tugu pertama yang dibina untuk memperingati banduan perang dari Australia dan British yang meninggal dunia di Sandakan dan sewaktu melakukan perjalanan maut ke Ranau dalam Perang Dunia ke-2. Memorial yang dibina seperti kubu ini direka oleh arkitek tempatan, J.C. Robinson.

Ia mempunyai empat buah taman yang bercantum tetapi terasing, dan mewakili tanah tumpah darah mereka yang terkorban: Taman Australia, Taman Ros Inggeris, Taman Borneo dengan bunga liar Kinabalu dan di bahagian atas, Taman Tafakur dengan kolam dan pergola.

Memorial ini dibuka kepada pengunjung tempatan dan luar, bukan saja untuk melihat kawasan taman yang sempurna tetapi juga untuk memperingati mereka yang berkorban nyawa demi kemerdekaan penduduk tempatan. Ia dibuka kepada pengunjung dengan bayaran yang minimal.

9. Taman Marin Pulau Tiga

Taman Marin Pulau Tiga

Pulau Tiga adalah pulau terbesar antara tiga buah pulau yang membentuk Taman Pulau Tiga. Kawasan yang cantik dan persekitaran semulajadi yang tidak tercemar menarik Rangkaian TV CBS dari AS untuk menjadikannya sebagai lokasi utama untuk episod pertama siri program terkenal ‘Survivor’, dan menggelarnya sebagai ‘Pulau Survivor‘.

Bagi pencinta alam semulajadi, terdapat hutan hijau yang subur, serta pantai dengan pasir yang putih bersih dan air jernih yang tidak tercemar untuk dinikmati.

Terumbu karang yang mengelilingi pulau ini adalah rumah bagi banyak spesis ikan dan hidupan marin yang lain. Antara aktiviti yang boleh anda lakukan di sini adalah menyelam, sukan air tidak bermotor, menjelajah, melihat burung dan banyak lagi.

10. Pulau Layang Layang

Pulau Layang Layang

Pulau Layang Layang menjadi salah sebuah lokasi menyelam terkemuka selepas Pulau Sipadan. Pantai syurga ini terletak di Laut China Selatan kira-kira 300km ke barat laut Kota Kinabalu. Kawasan pulau yang luas menempatkan resort dengan 90 buah bilik, pangkalan Tentera Laut Malaysia dan koloni penetasan bagi beberapa jenis burung laut yang berhijrah.

Topografi terumbu karang terdiri daripada terumbu keras yang banyak di kawasan ini: sesetengah kawasan agak cetek dan boleh dilihat sewaktu air surut tetapi kebanyakannya bermula pada kedalaman 5m di dasar laut.

Antara hidupan laut yang terdapat di 14 tempat menyelam di sini ialah ikan jerung (black-tip sharks, hammerheads), jacks barracudas, bump-head parrotfish, lionfish, belut moray, penyu, nudibranches, gobies dan ikan ghost pipe.

11. Aquarium & Marine Museum

Aquarium & Marine Museum

Aquarium & Marine Museum terletak di kampus Universiti Malaysia Sabah. Destinasi ini menawarkan beberapa aktiviti menarik untuk pengunjung lakukan dan lawati seperti pameran terbuka terumbu karang, melihat tengkorak ikan paus, akuarium yang menempatkan udang gergasi, penyu laut dan ikan-ikan.

12. Masjid Kota Kinabalu

Masjid Kota Kinabalu

Merupakan masjid kedua terpenting di Kota Kinabalu selepas Masjid negeri di Sembulan. Kos pembinaan Masjid Kota Kinabalu ini adalah 34 juta ringgit. Seni binanya diinspirasikan daripada Masjid Nabawi yang terletak di Madinah.

Juga digelar sebagai Masjid Terapung kerana dikelilingi oleh lagun buatan manusia. Bukan itu sahaja, masjid ini juga agak lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti mesin ATM, klinik penjagaan paliatif, 3 buah madrasah dan ladang ikan.

Kalau anda nak menikmati pemandangan masjid indah ini dengan lebih dramatik lagi dari air yang terdapat di sekeliling, anda boleh menaiki bot pedal yang disediakan pihak masjid. Jangan lupa bawa kamera anda sewaktu ke sini.

13. Signal Hill Observatory Platform

Signal Hill Observatory Platform

Bentuknya seperti UFO, tapi bukanlah UFO, ia merupakan dek pemerhatian yang terletak di Signal Hill, puncak tertinggi di Kota Kinabalu. Di sinilah anda dan keluarga dapat menikmati pemandangan terindah dan terbaik sekitar Kota Kinabalu, tiada yang dapat melawan pemandangan dari Observatory Platform ini.

Sudahlah berangin sepoi-sepoi, dapat pula anda menyaksikan pemandangan sekitar Kota Kinabalu sehingga ke pulau-pulau yang terdapat di sekelilingnya, menakjubkan tak dapat digambarkan dengan kata-kata, nak tahu, lihat sendiri.

14. Masjid Negeri Sabah

Masjid Negeri Sabah

Masjid Negeri bagi negeri Sabah ini memiliki seni bina yang menggabungkan bangunan-bangunan pada zaman keagungan Islam dan zaman moden. Kubah masjid ini pula diinspirasikan daripada masjid yang terkenal di dunia iaitu Masjid Biru di Istanbul, Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis dan Masjid Jame di New Delhi, manakala, menaranya yang berketinggian 215 kaki pula diambil dari rekaan Masjid Nabi di Madinah dan Masjidil Haram di Mekah.

Ilham rekaan yang begitu kreatif dan pelbagai sekali bukan? Lain dari yang lain, jadi tak perlu berfikir panjang, lawatilah masjid ini bersama keluarga untuk lihatlah sendiri keindahan rekabentuknya yang sangat mengagumkan.

15. Pantai Tanjung Aru

Pantai Tanjung Aru

Kalau anda tertanya-tanya manalah nak berkelah kalau menginap di sekitar Kota Kinabalu ni, jawapannya adalah di Pantai Tanjung Aru yang hanyalah 6 km sahaja dari bandar. Memang syok. berkelah di sini, fasilitinya juga sangat lengkap sekali, memudahkan anda yang membawa anak kecil dengan bermacam ragam.

Di sini anda dapat menikmati pelbagai makanan yang dijual di tepi pantai, air kelapa, air tebu, sate, apa sahaja yang anda bayangkan sesuai dimakan di tepi pantai, hampir kesemuanya ada.

Lagi info penting yang perlu anda tahu sebelum ke sini adalah waktu matahari terbenam di sini, iaitu pada pukul 5.30 dan ke atas, ya, memang awal, dan ya, anda perlu tahu kalau anda bercadang ke pantai, kerana pada waktu inilah pemandangan paling indah dalam hidup anda dapat dinikmati.

16. Tambunan Rafflesia Reserve

Tambunan Rafflesia Reserve

Hanyalah 1 jam perjalanan dari Kota Kinabalu, anda akan sampai ke Tambunan Rafflesia Reserve yang menawarkan aktiviti jungle trekking untuk mencari bunga rafflesia yang merupakan bunga yang paling unik, paling pelik dan paling besar di dunia ini, banyak sebab untuk anda melihat bunga Rafflesia ini di depan mata sendiri.

Namun begitu, bersedialah untuk menghidu bau yang agak kurang enak sebaik mendekati bunga ini. Nak tahu kenapa ia bunga tapi busuk? Bunga Rafflesia ini mengeluarkan bau busuk untuk menarik perhatian lalat dan serangga untuk menuju ke arahnya dan pap! dimakan begitu sahaja. Itulah kisahnya mengapa bunga ini pelik. Walau bagaimanapun, bunga ini hanya berkembang beberapa hari sahaja, good luck!

17. Monsopiad Cultural Village

Monsopiad Cultural Village

Pada suatu ketika dahulu, terdapat sekumpulan lanun datang dan cuba merompak daripada kawasan perkampungan suku kaum Monsopiad, bertindak dengan pantas, ketua kampung suku kaum itu menangkap dan membunuh lanun-lanun itu, kepala mereka dijadikan hiasan pada pagar di sekeliling kampung untuk menakutkan lanun yang lain. Kini, anda dapat melihat tengkorak-tengkorak ini digantung pada siling rumah panjang di kampung warisan Monsopiad.

Di samping tengkorak sebagai antara tarikan paling top di sini, anda juga dapat melihat kehidupan sebenar masyarakat Monsopiad, seperti makanan tradisional mereka, kepercayaan, tarian dan pakaian mereka. Lagi satu, jangan lepaskan peluang untuk mencuba meniup sumpit yang menjadi senjata utama masyarakat ini dalam menyerang musuh. Mungkin anda pahlawan yang mereka cari selama ini.

18. Desa Cattle Dairy Farm

Desa Cattle Dairy Farm

Desa Cattle Dairy Farm ini juga digelar sebagai New Zealand Kecil negeri Sabah kerana panorama sekelilingnya yang kelihatan seperti di negara orang Maori itu. Pemandangan ladang lembu ini sangat menyejukkan mata dengan kehijauan rumputnya yang seluas pandangan mata.

Bukan itu sahaja, bukit-bukau di sekeliling ladang ini juga menjadikan pemandangan 100 kali lebih memukau sesiapa sahaja yang datang. Kalau dah datang ke sini, jangan lupa untuk membeli produk-produk tenusu hasil dari ladang ini, segar dan sedap!

19. Ladang Teh Sabah

Ladang Teh Sabah

Ladang Teh Sabah ini merupakan ladang teh organik yang satu-satunya di kepualauan Borneo. Berketinggian 2272 kaki dari aras laut dan berkeluasan 6200 ekar, dari sini anda dapat melihat pemandangan hutan rimba dan Gunung Kinabalu yang sangat mengasyikkan.

Perjalanan anda di sini tidak patut berhenti di ladangnya sahaja, alang-alang dah sampai, singgahlah ke kilang tehnya sekali, baru lengkap perjalanan anda. Di kilang ini, anda dapat melihat demonstrasi pembuatan teh dari proses ia dipetik, dibersihkan, digredkan, pendek kata dari A ke Z. Sangat informatif dan bermakna untuk anak-anak kecil yang bersifat ingin tahu.

20. Ranau Paragliding Park

Ranau Paragliding Park

108 km dari Kota Kinabalu terletaknya sebuah kota, Ranau yang memiliki bentuk muka bumi bergunung-ganang dan becuaca agak sejuk dengan udara yang menyegarkan. Untuk yang ingin melakukan aktiviti ekstrem, datanglah ke Ranau Paragliding Park di mana anda dapat berpragliding ibarat burung yang terbang bebas sambil menikmati pemandangan sekitar yang indah.

Anda dapat melihat kawasan perkampungan dan sawah-sawah padi yang terbentang luas. Satu pengalaman yang sukar dilupakan.

21. Pekan Kundasang & Pekan Nabalu

Pekan Kundasang & Pekan Nabalu

Dikelilingi gunung-ganang yang sangat indah, terdapatnya pasar yang menjual bermacam sayur-sayuran dan buah-buahan yang segar dan organik di Pekan Kundasang, persis Cameron Highland, sejuknya juga lebih kurang sahaja samanya seperti di sana.

Kalau anda ingin memberikan orang tersayang anda sesuatu yang istimewa, bunga-bungaan segar yang bermacam warna ada juga dijual di sini. Kalau dah cuaca pun seperti di Cameron Highland, sudah tentu ada saja buah comel yang berwarna merah itu, strawberry, segar dan sedap dimakan begitu sahaja.

Di Pekan Nabalu pula, anda dapat melihat ramai penduduk tempatan yang terdiri daripada kaum Dusun meniagakan pelbagai barangan kraftangan yang menarik. Boleh beli untuk dijadikan sebagai cenderahati.

22. Rumah Terbalik Tamparuli

Rumah Terbalik Tamparuli

Bagaimanalah agaknya kan kalau dunia ini semuanya terbalik? Agak-agak pening tak kepala? Nak tahu macam mana rasanya hidup dalam dunia yang serba tak kena ni bolehlah ke Rumah Terbalik Tamparuli, kesemuanya, daripada rumah sehinggalah ke perabot dalamannya semuanya terbalik.

Selain daripada tarikan Rumah Terbalik Tamparuli yang merupakan salah satu tempat menarik di Sabah ini, di sekitar kawasan ini juga terdapat 3D Wonders Museum yang mempamerkan karya-karya seni 3D.

23. Gomantong Cave

Gomantong Cave

Kawasan di sekeliling Gua Gomantong dan di gua ini sendiri dipelihara dengan baik sekali untuk membiarkan hidupan liar hidup dalam habitat mereka tanpa sebarang masalah. Dalam perjalanan ke gua ini anda dapat menikmati suasana penuh ketenangan di dalam hutan tapi jangan terkejut pula kalau terjumpa orang utan tiba-tiba yang mungkin berjalan di atas kanopi ruang jalan kerana kawasan hutan di sini menjadi habitat haiwan ini juga.

Setibanya di gua itu nanti, anda perlu bersedia dengan bau najis kelawar yang agak menusuk hidung, dan bagi anda yang membawa keluarga terutama kanak-kanak, perlu tabahkan diri melihat agak banyak lipas yang ada di sini. Agak mencabar, tapi satu pengalaman yang menarik untuk disimpan di dalam memori.

24. Bornean Sun Bear Conservation Centre

Bornean Sun Bear Conservation Centre

Kalau anda menyangka beruang hanya berada di kawasan yang sejuk seperti di antartika dan lain-lain, ternyata anda salah, kerana di Bornean Sun Bear Conservation Centre anda dapat mendekati beruang matahari yang juga merupakan antara spesis beruang yang paling kecil di dunia.

Antara kemudahan yang disediakan di pusat ini adalah dek pemerhatian, pusat pelawat dan ruang jalan berpapan. Selain itu, untuk pengetahuan anda, terdapat lebih daripada 40 ekor beruang matahari yang dapat dilihat di sini. Jangan lepaskan peluang untuk melihat haiwan-haiwan comel ini pada waktu mereka aktif iaitu dari pukul 9.30am ke 3.00pm.

25. Pulau Mabul

Pulau Mabul

Pulau Mabul terkenal dalam kalangan para penyelam kerana ia terletak dekat dengan Pulau Sipadan yang merupakan destinasi terbaik untuk aktiviti ini. Terletak hanya 15 km dari Sipadan, pulau yang berkeluasan 20 hektar ini ditumbuhi oleh pokok palma dan memiliki kawasan-kawasan pantai yang kecil.

Antara aktiviti menarik yang boleh dilakukan di sini adalah menyelam skuba di mana anda dapat menyaksikan pelbagai hidupan laut yang menarik seperti ikan katak, ikan kalajengking, jawfish dan banyak lagi yang unik dan menarik untuk dilihat.

___

Kalau nak diikutkan Sabah sememangnya destinasi pelancongan yang unik baik tempat bercuti, kawasan bersejarah, pilihan makanan yang pelbagai, hotel dan sebagainya. Maka tidak hairanlah Sabah terkenal dikalangan pelancong dari luar. Semoga panduan tempat menarik di Sabah yang ringkas ini memberi anda inspirasi untuk bercuti ke negeri ini pada masa akan datang.

Sila tinggalkan komen dibawah sekiranya anda ada tempat menarik di Sabah lain yang ingin dikongsikan kepada kami. Jangan lupa like CutiSini.com di Facebook, jadi anda akan terus-menerus dapat membaca artikel menarik seperti ini. Terima kasih.

0 komen pembaca

Tiada komen lagi. Jadi yang pertama komen artikel ini.

Buat Komen

Nota: Alamat e-mel anda tidak akan dikongsi oleh pihak ketiga. Ruang bertanda * adalah wajib diisi.

Lagi Artikel Menarik