Tempat menarik di Sarawak ini adalah sebagai rujukan kepada anda yang ingin bercuti ke negeri ini. Sarawak merupakan negeri yang terbesar di Malaysia dan semestinya mempunyai pelbagai tempat menarik di sini terutamanya di ibu negerinya, Kuching.

Keindahan flora dan fauna Sarawak tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Permukaan muka buminya dengan hutan sebagai aset yang penting bagi Sarawak menjadikan ia sebuah negeri yang menjadi habitat kepada ribuan spesies tumbuhan dan haiwan.

Di Sarawak masih banyak lagi penduduk yang mengekalkan gaya hidup tradisional, anda dapat mempelajari tentang kepelbagaian etnik yang wujud di Sarawak misalnya etnik Bidayuh, Orang Ulu, Iban, Melanau, Penan, Kelabit, dan lain-lain yang secara keseluruhannya adalah 27 etnik. Kepelbagaian etnik bermakna pelbagai hasil kraftangan yang kreatif dapat anda lihat, pelbagai jenis makanan yang boleh dicuba dan tentunya pelbagai budaya yang unik dapat anda saksikan.

20 Tempat Menarik di Sarawak

Nak tahu apa tempat menarik di Sarawak? Mari kita lihat senarai 20 tempat menarik di Sarawak untuk dilawati apabila anda berkunjung ke sini sama ada untuk bercuti ataupun atas urusan kerja.

Semoga dengan senarai tempat menarik di Sarawak yang kami senaraikan dibawah ini sedikit sebanyak dapat membantu anda merancang percutian ke negeri ini pada masa akan datang.

1. Taman Negara Gunung Gading

Taman Negara Gunung Gading

Gunung Gading inilah tempat untuk mencari dan melihat sendiri bunga yang terbesar di dunia iaitu Bunga Reflesia dan boleh membesar sehingga berdiameter 1 meter! Namun bukan selalu pokok bunga ini ada mengembang dan tidak mempunyai musim yang tetap. Waktu terbaik yang disarankan adalah untuk datang ketika musim hujan kerana kemungkinan besar anda akan berpeluang melihat pokok bunga raflesia yang mengembang.

Pokok Raflesia ini menganmbil masa 8-9 bulan untuk mencapai tahap matang dan hanya akan berbunga penuh selama 4-5 hari sebelum mati. Dan bila mengembang pokok ini biasanya akan mengeluarkan satu bau yang agak pelik untuk menarik serangga terbang hinggap di atasnya. Laluan dan trail hutan juga tersedia bagi memudahkan pelancong mendaki naik ke Gunung Gading untuk melihat bunga ini atau untuk jungle trekking.

Bayaran Masuk: RM10.00 dewasa | RM5.00 Kanak-Kanak

2. Taman Negara Bako

Taman Negara Bako tempat menarik di sarawak

Taman Negara ini menempatkan pelbagai jenis hidupan liar termasuklah monyet belanda yang memiliki hidung yang besar ataupun dipanggil monyet proboscis yang hanyalah terdapat di Borneo. Di samping itu, terdapat juga pantai, laut, paya bukau dan kawasan air terjun untuk anda melakukan pelbagai aktiviti riadah.

Trek-trek yang terdapat di Taman Negara ini agak mencabar, jadi untuk kanak-kanak di bawah 12 tahun perlulah diawasi pergerakan mereka. Untuk menjalankan aktiviti di sini, anda perlulah menghubungi pihak Jabatan Perhutanan Sarawak terlebih dahulu. Taman Negara Bako merupakan antara tempat menarik di Sarawak yang menjadi tumpuan pelancong dari luar negara.

Harga: Tiket Bas Asia No. 1 dari Kuching ke Terminal Bako RM3.50 sehala | Harga tiket bot dari Terminal Bako ke Taman Negara Bako RM15.00 sehala | Park Conservation fee RM10.00

3. Kuching Wetlands National Park

Kuching Wetlands National Park

Terletak lebih kurang 14 km daripada bandar Kuching dan hanya 4km dari Pantai Damai dan Taman Negara Kuching Wetland ini merangkumi kawasan yang seluas lebih daripada 6000 hektar berdekatan dengan muara Sungai Salah dan Laut Sibu.

Di sini (kawasan yang agak berpaya bakau) juga anda boleh menjumpai pelbagai jenis binatang liar seperti proboscis monkey (monyet hidung besar), biawak monitor, buaya, burung-burung hutan, helang laut dan banyak lagi. Untuk mengembara di taman negara ini anda perlu ke sungai dengan menaiki bot dan ada beberapa pengusaha (tour guide) yang boleh membawa anda pusing-pusing di sekitar taman negara ini. Anda boleh mendapatkan contact untuk tour guide ini di hotel anda.

4. Hutan Simpan Semenggoh

Hutan Simpan Semenggoh

Anda teringin melihat orang utan? Di sinilah tempatnya. Jaraknya dari bandar Kuching hanyalah 20 km. Orang utan disini diberikan latihan oleh ranjer-ranjer untuk hidup di dalam hutan sebelum dilepaskan ke hutan yang berada di sekitar.

Orang utan akan pulang ke pusat pemeliharaan pada pukul 9.00 – 10.00 pagi dan 3.00 – 3.30 petang untuk makan, jadi waktu-waktu ini adalah yang terbaik untuk anda melihat keletah orang utan yang amat menghiburkan hati di hutan ini.

Bayaran Masuk: RM10.00

5. Masjid Jamek Kuching

Masjid Jamek Kuching

Masjid Jamek Kuching juga turut digelar Masjid Lama Negeri Sarawak dan ia berada di kawasan kota lama berdekatan dengan sungai Kuching. Masjid ini merupakan masjid pertama yang dibina di Sarawak pada tahun 1847.

Dahulunya ia dibina menggunakan kayu, dindingnya dibuat daripada papan dan atapnya pula daripada kayu bulian. Namun, masjid ini diperbaharui semula pada tahun 1968 dengan dinding yang berwarna merah jambu dan kubah yang keemasan. Anda boleh melihat keindahan masjid ini dari Waterfront lebih-lebih lagi pada waktu senja.

6. Muzium Kucing

Muzium Kucing

Muzium ini adalah muzium kucing yang pertama di dunia. Di sini anda dapat melihat foto-foto, seni dan cenderahati yang berkonsepkan kucing. Terlalu banyak koleksi yang berkaitan dengan kucing yang dikumpulkan di sini iaitu sekitar 4000 dan ke atas.

Jadi, untuk anda yang suka dan menyayangi kucing, bolehlah meluangkan masa anda ke sini, masuk juga percuma! Cuma anda perlu bayar untuk mengambil gambar.

Bayaran Masuk: Percuma | RM3.00 – RM5.00 untuk mengambil gambar.

7. Fairy Cave & Wind Cave di Bau

Fairy Cave & Wind Cave

Kedua-dua gua batu kapur yang popular ini terletak di Bau dan merupakan destinasi popular untuk aktiviti rock climbing. Fairy Cave ini dinamakan bersempena dengan struktur stalagmit di bahagian masuk pintu gua yang kelihatan seakan-akan seperti dewa masyarakat orang Cina.

Di dalam gua anda akan mendapati perbezaan yang ketara kecerahan cahaya matahari yang masuk di pintu gua dan kegelapan yang menyuram apabila semakin dalam dan membuatkan batuan-batuan gua seolah-olah berubah warna.

Wind Cave pula dinamakan kerana sentiasa ada angin sejuk yang memasuki melalui corong-corong pintu gua. Di sini juga terdapat kelawar-kelawar liar dan aliran air yang dingin di dalam gua yang sangat cantik.

Bayaran Masuk: Dewasa RM3.00 | Kanak-kanak RM1.50

8. Kuching Civic Centre

Kuching Civic Centre

Dari bangunan Kuching Civic Centre yang futuristik ini anda dapat menikmati pemandangan 360 darjah bandar Kuching dan kawasan sekeliling sepuas-puasnya. Bangunan ini menempatkan planetarium yang pertama di Malaysia iaitu Planetarium Sultan Iskandar.

Bayaran masuk ke Civic Centre ini hanyalah RM2.00 sahaja dan anda dapat melihat pemandangan yang menyegarkan mata seperti Gunung Serapi, Santubung dan gunung-gunung lain yang wujud di Kalimantan.

Bayaran Masuk: RM2.00

9. Borneo Highland Resort

Borneo Highland Resort

Borneo Highland Resort ini terletak di Borneo Highland, di sini juga terdapat Hornbill Golf & Jungle Club. Sebenarnya ia agak mencabar untuk bermain golf di sini kerana cuaca yang begitu sejuk dan pandangan juga tidak begitu jelas kerana dikelilingi dengan kabus.

Resort ini terletak lebih kurang 80 km dari Kuching dan berdekatan dengan sempadan Sarawak-Kalimantan. Ketinggian Borneo Highland ini adalah dalam 600 – 1000 meter. Anda dapat menyaksikan acara tahunan seperti Perlumbaan Burung Negeri Sarawak dan Acara Memerhati Burung di kawasan tanah tinggi ini. Jika anda teringin melihat kehidupan masyarakat etnik Bidayuh, anda boleh melawat Rumah Panjang Annah Rais yang terletak di kaki bukit Borneo Highland.

10. Pantai Damai

Pantai Damai

Berdekatan dengan pantai ini anda dapat melihat hutan hujan tropika yang paling tua di dunia dan menikmati pemandangan indah pokok-pokok hutan tropika yang mengelilingi Gunung Santubong. Anda boleh menginap di Damai Beach Resort yang menyediakan tempat tinggal yang sangat selesa.

Setelah puas melihat pemandangan pantai yang menghadap Laut China Selatan ini anda bolehlah melawat Kampung Budaya Sarawak yang berada berdekatan dengan pantai.

11. Taman Buaya Jong

Taman Buaya Jong

Taman buaya Jong ini adalah yang terbesar di Malaysia, terdapat lebih dari seribu ekor buaya yang dijaga disini. Anda dapat melihat aksi buaya menyambar bangkai ayam yang diletakkan pada tali rentang sekiranya anda datang pada waktu buaya-buaya ini diberikan makanan iaitu pada pukul 11 pagi dan 3 petang setiap hari.

Anda boleh juga melawat mini zoo yang terdapat disini untuk melihat haiwan-haiwan seperti monyet, biawak monitor, musang, ular sawa dan banyak lagi.

Terdapat juga Muzium Buaya yang turut mempamerkan tulang buaya yang diberi nama Bujang Senang yang pernah tinggal di Sungai Batang Lupar, Sarawak sejak tahun 1941. Buaya ini amat terkenal dalam kalangan masyarakat kerana telah ramai manusia yang menjadi mangsanya.

Bayaran Masuk: Dewasa RM22.00 | Kanak-kanak RM11.00

12. Taman Orkid Kuching

Taman Orkid Kuching

Taman Orkid Kuching ini bertempat di seberang sungai dari Waterfront. Anda boleh menaiki bot kayu yang dipanggil Penambang untuk menuju ke Taman Orkid ini dengan harga hanya RM0.50 dan perjalanannya mengambil masa selama 15 minit.

Jangan lupa untuk membawa kamera anda bersama dan sekiranya anda memiliki kamera yang mampu menangkap gambar mikro yang cantik adalah satu kelebihan kerana bunga-bunga orkid yang terdapat di taman ini amatlah fotogenik.

Bayaran Masuk: Percuma

13. Tugu Kuching

Tugu Kuching

Tugu Kuching ini mewujudkan suasana yang unik kepada negeri Sarawak, memang tak sah sekiranya anda datang ke Sarawak tanpa bergambar dengan tugu-tugu kucing yang ada di sini. Tugu ini berada di hadapan pusat membeli-belah dan hotel-hotel di Kuching.

Sebenarnya, nama Kuching ini diberi berdasarkan kisah bahawa pada zaman dahulu terdapat banyak kucing hutan yang wujud di sekitar sungai di situ ketika kawasan ini masih dipenuhi hutan. Kalau ke Kuching dan tak singgah di salah satu tempat menarik di Sarawak ini memang rugi.

14. Kampung Budaya Sarawak

Kampung Budaya Sarawak

Bagi yang nak lebih mengenali budaya dan cara hidup etnik-etnik utama di Sarawak, bolehlah ke Kampung Budaya Sarawak (Sarawak Cultural Village) atau juga dikenali sebagai Muzium Kehidupan. Di sini anda boleh melihat pelbagai replika rumah dan bangunan yang mewakili etnik-etnik dan kaum utama di Sarawak seperti Iban, Bidayuh, rumah panjang Orang Ulu, penempatan Penan, rumah tinggi Melanau, rumah orang Melayu Sarawak, pagoda orang Cina dan sebagainya.

Setiap bangunan di sini menempatkan staff dari setiap etnik yang bepakaian tradisional masing-masing dan menjalankan aktiviti tradisional. Dan anda akan diterangkan oleh staff yang berpengalaman mengenai kehidupan etnik dan aktiviti mereka. Kalau nak ambil gambar pun boleh.

Selepas melihat perkampungan dan bangunan etnik ini, anda akan dipersembahkan pula dengan tarian tradisional di dalam sebuah dewan. Di sini juga ada restoran dan kedai kraftangan yang menarik. Di sini juga menjadi tempat bagi mereka yang nak melangsungkan perkahwinan samaada dengan cara Bidayuh, Iban, Orang Ulu atau pun Melayu.

Bayaran Masuk dan Makan: Dewasa RM75.00 | Kanak-kanak RM40.00

15. Taman Negara Niah

Taman Negara Niah

Taman Negara Niah memiliki sebuah gua yang termasyur di dunia kerana di sinilah wujudnya penemuan yang penting dalam sejarah dunia dimana di dalam Gua Niah ini, pakar arkeologi telah menjumpai pelbagai bukti kewujudan awal kehidupan manusia di Asia Tenggara iaitu pada 40,000 tahun yang lampau. Penemuan seperti lukisan batu, fosil manusia dan kayak kecil seperti keranda menjadi bukti bahawa gua ini pernah dijadikan sebagai kawasan perkuburan.

Selain daripada menerokai Gua Niah, terdapat banyak lagi aktiviti lain yang boleh dijalankan sebagai contoh jungle trekking melalui Madu Trail, jungle trekking melalui Bukit Kasut Trail, melawat Traders Cave, Kuala Gankira dan Rumah Chang. Anda dinasihatkan untuk membawa lampu suluh, baju hujan atau payung, kasut dan pakaian yang bersesuaian untuk pendakian, penghalau nyamuk, serta topeng muka untuk mengelakkan bau najis kelawar.

Bayaran: Park Conservation Fee RM10.00 | Harga bot sehala ke Taman Negara RM1.00

16. Muzium Sarawak

Muzium Sarawak

Seperti di kebanyakan muzium negeri lain, di sini Muzium Sarawak pula menempatkan barangan, artifak dan bahan bersejarah mengenai negeri Sarawak dan Borneo. Dan dikatakan muzium ini mempunyai koleksi barangan bersejarah yang terbaik di Asia Tenggara.

Muzium ini mempunyai beberapa wing (bahagian) dan bahagian yang paling lama di buka pada tahun 1891 lagi ! Di sini menempatkan pelbagai pameran info bersejarah mengenai etnik-etnik di Sarawak dan juga industri minyak mentah di negeri Sarawak. Bahagian Muzium yang baru pula digunakan untuk majlis dan pameran rasmi dan di aras bawah pula menempatkan sebuah akurarium, taman botani dan memorial pahlawan-pahlawan terbilang tempatan dahulu kala.

Bayaran Masuk: Percuma

17. Rumah Panjang Annah Rais Bidayuh

Rumah Panjang Annah Rais Bidayuh

Kalau anda ke Sarawak Cultural Village anda menjumpai pelbagai jenis REPLIKA rumah panjang beberapa etnik. Itu hanya replika jadi kalau anda nak melihat sendiri bagaimana rupa real Rumah Panjang, bolehlah ke Rumah Panjang Annah Rais.

Rumah Panjang Annah Rais ini merupakan penempatan etnik Bidayuh yang terletak lebih kurang 90km ke arah selatan bandar Kuching dan terletak di kaki bukit Borneo Highland. Berhampiran dengan Rumah Panjang ini, ada beberapa kolam air panas yang sangat popular dan asli.

18. Pasar Serikin

Pasar Serikin

Perjalanan yang diambil dari bandar Kuching ke Pasar Serikin adalah dalam 1 jam. Walaupun begitu, pasar ini tetap menarik ramai pelanggan kerana barangan kraftangan yang dijual di sini adalah dalam harga yang rendah sekali. Pasar ini terletak di sempadan Sarawak dan Indonesia.

Antara kraftangan yang anda boleh temui di sini adalah kain batik, tikar, bubu, makanan tradisi dan bermacam lagi. Anda dinasihatkan untuk bertolak ke pasar ini dari Kuching pada pukul 8.00 pagi lagi kerana peniaga-peniaga pasar akan mula mengemaskan barang untuk pulang sebaik sahaja pukul 12.00 tengahari.

Waktu Operasi: Sabtu & Ahad

19. Kuching Waterfront

Kuching Waterfront

Di sini merupakan tempat menarik di Kuching yang semestinya dilawati kalau nak membeli cenderahati kerana banyak kedai-kedai kraftangan (di Sarawak Steamship Building).

Antara barangan yang boleh anda beli ialah hasil tembikar, tikar mengkuang, hiasan dalaman rumah dan sebagainya. Anda boleh lepak-lepak di tepi sungai Sarawak dan makan-makan di kedai makan yang best di sini. Dari sini juga anda boleh naik bot untuk menikmati keindahan di sepanjang sungai.

20. Muzium Tekstil

Muzium Tekstil

Muzium ini memiliki senibina yang sangat unik hasil gabungan pengaruh Renaissance Inggeris dan Penjajah British. Bangunan ini dibina pada tahun 1907 dan pada awalnya ianya digunakan sebagai Pusat Perubatan dan seterusnya sebagai Pejabat Jabatan Pendidikan. Kemudian pada Ogos 2000, muzium ini mula dibuka kepada orang ramai.

Sekiranya anda teringin mengetahui bagaimana tekstil-tekstil Sarawak dibuat, di muzium ini anda akan dapat melihat proses tekstil ini dihasilkan dari awal penyediaan sehinggalah ditenun menjadi sehelai kain. Pastinya, di muzium ini anda turut dapat melihat koleksi tekstil tradisional dan moden Sarawak. Koleksi tekstil dan pakaian disini dihasilkan oleh etnik masyarakat Sarawak sendiri contohnya daripada masyarakat Iban adalah Pua Kumbu dan daripada masyarakat Melayu pula adalah songket.

Bayaran Masuk: Percuma

___

Kalau nak diikutkan negeri Sarawak sememangnya destinasi pelancongan yang unik baik tempat bercuti, mengenali budaya tradisional, pilihan makanan yang pelbagai, hotel dan sebagainya. Maka tidak hairanlah Sarawak terkenal dikalangan pelancong dari luar. Semoga panduan tempat menarik di Sarawak yang ringkas ini memberi anda inspirasi untuk bercuti ke negeri ini pada masa akan datang.

Sila tinggalkan komen dibawah sekiranya anda ada tempat menarik di Sarawak lain yang ingin dikongsikan kepada kami. Jangan lupa like CutiSini.com di Facebook, jadi anda akan terus-menerus dapat membaca artikel menarik seperti ini. Terima kasih.

1 komen pembaca

  1. Nafisah moinuddin
    Nafisah moinuddin

    SAYA SANGAT BERPUAS HATI DENGAN SESUATU YANG MAHU DISAMPAIKAN

Buat Komen

Nota: Alamat e-mel anda tidak akan dikongsi oleh pihak ketiga. Ruang bertanda * adalah wajib diisi.

Lagi Artikel Menarik