Senarai tempat menarik di Terengganu ini adalah sebagai rujukan kepada anda yang ingin bercuti ke negeri ini. Terengganu terletak di pantai timur dan negeri ini bukan sahaja kaya dengan hasil laut, malahan ianya sebuah destinasi pelancongan yang cukup lengkap sekali pakejnya, berbeza dengan negeri-negeri lain di Malaysia.

Negeri ini terkenal dengan keropok lekornya dan bukan setakat itu, negeri ini turut kaya dengan warisan tradisional yang dijaga dengan baik sekali. Memang rugi kalau anda dan keluarga tidak datang untuk melihat dengan mata sendiri peninggalan bersejarah yang terdapat di sini. Yang syoknya lagi, di sini anda dapat melihat bermacam gaya hasil-hasil seni fabrik warisan kebangsaan, mana taknya, di negeri inilah batik dan sutera banyak dihasilkan.

Disini kami senaraikan tempat menarik di Terengganu yang disusun mengikut jenis pelancongan. Ada destinasi percutian pulau, pantai, pelancongan alam semulajadi, kebudayaan dan lain-lain.

Tempat Menarik Di Terengganu

Nak tahu apa tempat menarik di Terengganu? Mari kita lihat senarai tempat menarik di Terengganu untuk dilawati apabila anda berkunjung ke sini sama ada untuk bercuti ataupun atas urusan kerja.

Semoga dengan senarai tempat menarik di Terengganu yang kami senaraikan dibawah ini sedikit sebanyak dapat membantu anda merancang percutian ke negeri ini pada masa akan datang.

1. Pulau, Pantai & Alam Semulajadi di Terengganu

pulau perhentian tempat menarik di terengganu
Sumber gambar: s3encikfahdil

Kalau bercuti ke negeri Terengganu, destinasi sebegini adalah yang paling popular. Negeri Terengganu memang tidak dinafi mempunyai banyak tarikan alam semulajadi yang cantik dan menarik seperti pulau, pantai, air terjun, hutan lipur dan sebagainya. Jom kita lihat tempat menarik di Terengganu yang paling top dalam kategori ini.

Pulau Redang – Merupakan destinasi percutian di pulau yang top di Terengganu bahkan di Malaysia kerana mempunyai pantai dan air laut yang membiru jernih. Pelancong ke sini boleh melakukan aktiviti snorkeling atau scuba diving untuk melihat keindahan terumbu-terumbu karang di sini. Di Pulau Redang juga terdapat resort dan hotel yang cantik dan sesuai sebagai destinasi berbulan madu. Perjalanan menaiki bot dari Jeti Shahbandar ke Pulau Redang mengambil masa 1 jam 30 minit & dari Jeti Merang pula dalam 45 minit.

Tasik Kenyir – Tasik Kenyir yang merupakan tasik buatan manusia ini menawarkan beberapa produk pelancongan yang menarik untuk pelancong. Hasil terbinanya Tasik Kenyir ini adalah disebabkan pembinaan Empangan Kenyir yang secara tidak langsung mewujudkan tasik serta taburan ratusan pulau-pulau kecil. Antara aktiviti menarik di sekitar Tasik Kenyir yang boleh pelancong lakukan adalah memerhati burung liar, melawat santuari gajah, junggle trekking, menerokai gua-gua, memancing, melawat santuari ikan kelah dan bersuka ria di Kenyir Water Park.

Pulau Perhentian – Antara tempat menarik di Terengganu selepas Redang yang popular di kalangan pelancong. Pulau Perhentian sebenarnya terdiri daripada 2 pulau utama iaitu Pulau Perhentian Besar & Pulau Perhentian Kecil. Kalau anda sukakan aktiviti menyelam untuk melihat hidupan marin dan terumbu karang, Pulau Perhentian sangat dicadangkan untuk anda bercuti. Kemudahan penginapan seperti resort & chalet juga banyak di sini dan untuk pengetahuan Pulau Perhentian pernah disenaraikan sebagai salah satu destinasi pantai yang tercantik di Dunia oleh CNN.

Pulau Tenggol – Satu lagi pulau yang menawan di Terengganu yang kecantikan air, pantai & hidupan marinnya setanding dengan Pulau Redang & Pulau Perhentian. Destinasi ini memang tidak asing untuk mereka yang suka menyelam / scuba diving kerana mempunyai kawasan terumbu karang yang cantik serta hidupan marin yang eksotik. Kalau bernasib baik penyelam boleh berjumpa dengan ikan yu.

Air Terjun Chemerong – Tempat mandi manda di Terengganu yang sangat popular yang terletak di dalam Hutan Lipur Chemerong yang juga merupakan sebahagian daripada Hutan Simpan Pasir Raja. Lokasinya yang agak pedalaman dari jalan utama pasti menjanjikan keaslian alam flora yang masih kekal terjaga. Air Terjun Chemerong merupakan antara air terjun yang tertinggi di Malaysia dan di sini jugalah tempat pendaki memulakan pendakian menuju ke Gunung Berembun sambil mandi manda di Sungai Bangang yang sangat jernih membiru seperti di laut.

Air Terjun Sekayu – Sebuah lagi tempat mandi manda air terjun yang popular di Terengganu yang terletak di Kuala Berang. Air terjun bertingkat yang jernih di kelilingi Hutan Lipur Sekayu ini memang sesuai untuk pelancong berkelah, buat kem motivasi, berkhemah atau juga menginap di chalet di tepi air terjunnya yang pasti memberi satu pengalaman yang berbeza. Terdapat juga taman tema air mini yang mempunyai water slide yang sesuai untuk kanak-kanak bersuka ria.

Bukit Panorama – Seperti namanya, dari puncak bukit ini anda dapat menikmati keindahan panorama sekitar Terengganu sambil menikmati masakan enak di kafe yang terkenal dengan masakan panas dan baratnya. Nak bergambar gempak bersama orang tersayang? Ajaklah mereka ke sini. Pasti anda puas hati punyalah dengan pemandangan dari bukit ni.

2. Tempat Bersejarah & Budaya di Terengganu

muzium negeri terengganu-tempat menarik di terengganu
Sumber gambar: naeltrg

Tempat bersejarah di Terengganu mungkin tidak sebanyak yang ada di Negeri Melaka namun bagi yang ingin menyelami budaya dan sejarah tempatan negeri Terengganu, ada beberapa destinasi yang ideal untuk anda lawati.

Muzium Negeri Terengganu – Siapa tak kenal dengan muzium yang gah cantik ini yang merupakan tempat menarik di Terengganu yang wajib anda singgah dan ia juga merupakan muzium terbesar di Asia Tenggara. Terdapat banyak galeri dan bilik pameran yang menceritakan pelbagai informasi tentang sejarah, kesenian & budaya orang Terengganu. Pasti yang akan paling mencuri tumpuan anda adalah kecantikan senibina muzium ini sendiri yang sangat unik dan besar. Tengok pada saiz bumbungnya dan bangunannya anda pasti terasa seperti orang kerdil yang memasuki Istana Lama Melayu yang dihuni oleh orang gergasi.

Bukit Puteri – Lokasinya hanya bersebelahan dengan Pasar Besar Payang, Jeti Shah Bandar & berada betul-betul di tepi muara Sungai Terengganu. Bukit Puteri ini wujud sejak ke abad 16 lagi dan merupakan kawasan yang strategik sebagai kubu pertahanan untuk melawan musuh dari arah laut. Di atas Bukit Puteri ini terdapat beberapa laras meriam, rumah genta & loceng besar yang masih kekal dari dahulu sampai sekarang. Pemandangan dari atas Bukit Puteri ini yang menampakkan muara Sungai Terengganu memang sangat menakjubkan.

Memorial Batu Bersurat – Terletak di Kuala Berang, destinasi bersejarah ini merupakan tapak di mana Batu Bersurat Terengganu dijumpai pada tahun 1887. Batu Bersurat inilah yang menjadi bukti bahawa agama Islam telah berkembang ke Terengganu sejak 1303 masihi lagi. Tempat ini terjaga rapi dan sesuai sebagai destinasi untuk lawatan sambil belajar dalam menyelami sejarah negeri Terengganu & penyebaran agama Islam khususnya.

Kota Lama Duyong – Sekiranya anda pecinta seni & budaya asli penduduk setempat, bolehlah singgah di sini yang menempat sebuah rumah lama yang bercirikan senibina tradisional orang Melayu Terengganu. Rumah lama ini pernah rosak teruk ketika banjir besar dalam tahun 1900 dan pihak Muzium Negeri Terengganu bersama bantuan pakar-pakar tempatan telah berkerjasama untuk memulihkan kembali rumah ini. Sering menjadi lokasi untuk wedding photoshot & lawatan sambil belajar institusi pengajian.

Perkampungan Cina – Merupakan satu kawasan yang pada asalnya adalah penempatan orang Cina yang berhijrah ke sini. Tarikan di sini lebih kepada senibina bangunan sekeliling yang masih mengekalkan ciri-ciri tradisional dan anda boleh melihat budaya-budaya orang Cina Terengganu di sini. Kebiasaannnya pelancong suka berjalan di sekitar sini sambil-sambil bergambar sebagai kenangan.

Kompleks Kraf Noor Arfa – Kompleks Kraf Noor Arfa ini memiliki reka bentuk tradisional Terengganu. Sebuah lokasi yang perlu dilawati untuk mengenali dan melihat dengan lebih dekat lagi keindahan dan keunikan seni batik di Malaysia. Yang menariknya lagi, anda boleh membeli secara borong batik-batik di sini. Terdapat juga kraftangan lain yang dipamerkan di sini seperti anyaman, ukiran kaca dan wau.

Desa Murni – Di sini terdapat bermacam-macam jenis rekaan kain batik, kain pasang, baju melayu, telekung dan kain pelikat. Ia juga boleh dikatakan sebagai syurga membeli-belah bagi wanita kerana di sini juga menempatkan beribu-ribu pilihan tudung muslimah kerana Desa Murni juga turut dikenali sebagai pusat tudung muslimah terbesar di pantai timur.

Pusat Budaya Kraf Terengganu – Berada di tempat Perindustrian Chendering, di sini anda bersama keluarga dapat mengenali dengan lebih dekat hasil kraftangan Terengganu seperti ukiran kayu, produk tembaga, pembuatan songket, sarong, sutera dan banyak lagi. Anda boleh juga membuat tempahan khas produk kraftangan mengikut citarasa anda sendiri. Apa salahnyakan untuk membawa pulang sesuatu yang istimewa sekali-sekala datang ke Terengganu.

Bazar Warisan – Berdekatan dengan Pasar Payang di Jalan Sultan Zainal Abidin ini adalah sebuah bangunan yang memiliki reka bentuk tradisional Terengganu. Bazar Warisan mengumpulkan banyak kraftangan dan seni tradisional Terengganu seperti tembaga, songket, batik dan sutera. Anda juga dapat menikmati pemandangan indah muara Sungai Terengganu dari tingkat 3 bangunan ini.

Istana Maziah – Istana Maziah merupakan tempat rasmi bagi Sultan Terengganu, lokasinya adalah di kaki Bukit Puteri. Batu asas istana ini diletakkan pada tahun 1895. Di hadapan istana ini terdapat Dataran Maziah yang merupakan taman mini yang dihias dengan indah. Bawalah keluarga anda ke sini untuk melihat keindahan istana ini dengan lebih dekat lagi.

3. Zoo & Taman Haiwan di Terengganu

Santuari Kelah tempat menarik di terengganu
Sumber gambar: Utusan Online

Destinasi percutian yang sangat ideal untuk yang dah berkeluarga atau mereka yang suka dengan haiwan. Boleh bawa anak-anak anda untuk mengenali haiwan liar dengan lebih dekat lagi di Negeri Terengganu.

Zoo Kemaman – Kalau anda bercuti ke Kemaman atau Dungun, salah satu destinasi taman haiwan yang boleh dilawati adalah di Zoo Kemaman yang menempatkan pelbagai haiwan liar samaada yang dibawa dari dalam negara ataupun luar negara seperti gajah, harimau, singa, kucing hutan, buaya, tapir dan pelbagai spesis reptilia.

Kelip-kelip Sungai Yah Yah – Hanya terletak berdekatan dengan Zoo Kemaman, pengunjung boleh merasai pengalaman melihat kelip-kelip di Sungai Yah Yah yang beroperasi antara 8.00 malam sehingga 10.00 malam. Kelip-kelip di sini memang banyak mengerumuni pokok-pokok di sepanjang sungai dan kebiasaannya membiak antara bulan Julai – Oktober.

Santuari Kelah – Kebiasaannya ikan kelah memang susah untuk didekati tetapi di sini ikan kelah seperti menanti kehadiran pengunjung seolah-olah tidak sabar nak beramah mesra. Santuari Kelah Sungai Petang terletak di Sungai Petang, Kenyir dan anda boleh ke sini dengan menaiki bot dari Pengkalan Gawi berjarak 16 km ( 30-40 minit perjalanan bot). Di sini terdapat kemudahan seperti galeri, pusat pembenihan ikan, akuarium & pusat penyelidikan ikan kelah.

Kenyir Elephant Village – Merupakan sebuah pusat konservasi gajah yang baru dibuka pada tahun 2012. Di sini pengunjung boleh melihat telatah gajah-gajah terlatih & jinak beraksi dengan pelatihnya yang pasti mencuit hati anak-anak. Anda juga boleh merasai pengalaman menaiki gajah sambil ditemani pelatih mengelilingi kawasan yang ditetapkan.

Pusat Konservasi & Penerangan Penyu – Bagi yang ingin mendekati haiwan laut yang comel ini anda boleh berkunjung ke pusat konservasi yang terletak di Rantau Abang, Dungun. Di sini menempatkan pameran yang mempamerkan informasi berguna tentang spesis-spesis penyu yang ada di Terengganu. Terdapat juga kolam-kolam kecil yang menempatkan penyu-penyu sebelum dilepaskan di laut. Musim penyu bertelur adalah dari Mac sehingga September setiap tahun.

4. Taman Tema & Aktiviti Berkeluarga di Terengganu

candat sotong di terengganu
Sumber gambar: Beautiful Terengganu

Berikut merupakan beberapa destinasi tempat menarik di Terengganu untuk melakukan aktiviti bersama keluarga dan anak-anak.

Kenyir Water Park – Terletak di Pulau Poh di mana pengunjung perlu menaiki bot di Pengkalan Gawi selama 10-15 minit sebelum sampai di sini. Taman tema air ini memang sangat unik kerana di samping mempunyai kolam air di darat, pengunjung dewasa boleh mencuba aktiviti yang mencabar dengan permainan-permainan air di tengah tasik atau dikenali sebagai Lake Playstation.

TTI River Cruise – Bagi mereka yang ingin menikmati keindahan panorama di Sungai Terengganu, anda boleh membawa keluarga untuk menaiki bot menyusuri sungai yang bermula dari jeti di Taman Tamadun Islam. Di sepanjang perjalanan anda boleh melihat pemandangan kampung nelayan, rumah atas air, tempat pembuatan bot dan juga melihat keindahan Masjid Kristal.

Candat Sotong – Aktiviti mencandat sotong merupakan satu aktiviti yang popular di Terengganu khususnya di Marang. Kebiasaannya pelancong baik dalam dan luar negara akan ke sini setiap tahun terutamanya antara bulan April-Ogos bersama keluarga mahupun teman sepejabat. Bot bersama tekong boleh disewa untuk ke lokasi mencandat iaitu di sekitar Pulau Kapas. Dari jeti Marang ke lokasi mencandat memakan masa 30-40 minit dan bermula dari petang sehinggalah keesokan paginya.

Pusat Akuatik MBKT – Pusat akuatik yang bernilai RM18 juta ini terletak di Pantai Batu Buruk bersebelahan dengan Hospital Sultanah Nur Zahirah. Di sini terdapat kolam mandi samaada untuk kanak-kanak mahupun untuk dewasa yang pandai berenang. Sering menjadi kunjungan warga KT di hujung minggu untuk beriadah bersama anak-anak.

Resort World Kijal – Bagi yang mencari penginapan yang menarik dengan kolam renang mandi manda yang sesuai untuk kanak-kanak, salah destinasi yang boleh anda cuba adalah di Resort World Kijal yang terletak di Kijal, Kemaman. Resort ini terletak di tepi pantai dan antara aktiviti lain yang boleh anda lakukan di sini ialah bermain jetski, melihat penyu bertelur, naik ATV, bermain golf dan sebagainya.

5. Mercu Tanda di Terengganu

masjid putih terengganu
Sumber gambar: photobucket.com

Berikut adalah mercu tanda di Terengganu yang menjadi kebanggaan rakyat Terengganu. Boleh bawa keluarga anda melawat tempat-tempat dibawah ini untuk melihat sendiri hasil senibina yang cukup menakjubkan.

Bukit Besar – Di sinilah terletaknya tulisan ikonik di Terengganu iaitu ‘Allah Peliharakanlah Terengganu.’ Ramai yang menjadikan Bukit Besar sebagai destinasi untuk berekreasi dengan cara berjalan mendaki ke atas bukit ini untuk menikmati keindahan Terengganu dari puncaknya. Anda dapat melihat Masjid Kristal, Taman Tamadun Islam dan kecantikan Sungai Terengganu dari sini.

Masjid Kristal – Masjid yang terletak di Pulau Wan Man ini memakan bajet sekitar RM23 juta untuk dibina menggunakan hanya besi, kristal dan kaca. Sesuai dengan bajet yang dikeluarkan, masjid ini memiliki reka bentuk yang unik yang terkenal di seluruh dunia. Waktu terbaik untuk menangkap gambar masjid ini adalah pada waktu matahari terbenam kerana cahaya matahari yang cantik pada waktu itu akan terpancar pada sekeliling masjid ini yang dibuat daripada material yang memantulkan cahaya.

Masjid Abidin (Masjid Putih) – Masjid Abidin yang juga digelar sebagai Masjid Besar atau Masjid Putih ini merupakan masjid yang tertua di Terengganu yang mula dibina pada tahun 1793 oleh Sultan Zainal Abidin II. Bangunan yang asalnya daripada kayu ini telah diubah kepada bangunan batu pada tahun 1852 dan banyak lagi penambahbaikan yang telah dilaksanakan sehingga ia menjadi sebuah masjid yang besar. Berhampiran masjid ini terdapat Makam DiRaja yang lama.

Water Front Kuala Terengganu – Terletak berdekatan Hotel Felda Residence ini adalah tempat bersantai, Waterfront Kuala Terengganu. Terdapat pelbagai pilihan kafe dan restoran untuk anda menjamu selera bersama keluarga sambil mencuci mata menikmati pemandangan sungai Terengganu. Kalau anda nak tahu, Waterfront ni juga terletak berdekatan dengan Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia di mana nelayan memasarkan hasil-hasil tangkapan laut mereka. Bolehlah singgah kalau anda teringin nak makan ikan-ikan yang segar.

Dataran Shahbandar – Di tepian sungai Terengganu ini memang banyak tempat-tempat yang menjadi tarikan, salah satunya ialah dataran ini. Daripada Dataran Shahbandar ini anda dapat melihat panorama yang menarik sekali. Boleh juga sekiranya anda ingin berkelah di dataran ini bersama keluarga.

Pulau Warisan – Pulau Warisan ini kelihatan seperti I-City di Shah Alam dengan lampu-lampu pokoknya yang berwarna-warni, begitu hidup sekali suasana malam di tempat ini. Tak sah kiranya kawasan yang menjadi perhatian ramai tidak ada kedai makan bukan? Di sini terdapat banyak kafe untuk dijadikan tempat bersantai bersama keluarga sambil menikmati pemandangan Sungai Terengganu. Jika anda datang pada waktu yang tepat, dapatlah anda menyaksikan pertandingan lumba perahu layar yang sering diadakan di sini.

Masjid Tengku Tengah Zahara – Terengganu memang banyak binaan masjid yang cantik, masjid ini adalah salah satu darinya. Masjid Terapung ini diberikan nama sedemikian kerana dari jauh masjid ini seolah-olah terapung di atas air. Masjid ini memiliki ciri-ciri reka bentuk islam dan tempatan. Datanglah ke sini untuk menikmati kecantikan masjid ini ditemani dengan angin laut yang tenang.

___

Negeri Terengganu sememangnya destinasi pelancongan yang terbaik untuk bercuti kerana disini ada banyak tarikan pelancongan, pilihan makanan yang pelbagai, hotel dan pusat membeli belah yang boleh dikunjungi. Maka tidak hairanlah Terengganu terkenal dikalangan penduduk tempatan dan pelancong dari luar. Semoga panduan tempat menarik di Terengganu yang ringkas ini memberi anda inspirasi untuk bercuti ke negeri ini pada masa akan datang.

Sila tinggalkan komen dibawah sekiranya anda ada tempat menarik di Terengganu lain yang ingin dikongsikan kepada kami. Jangan lupa like CutiSini.com di Facebook, jadi anda akan terus-menerus dapat membaca artikel menarik seperti ini. Terima kasih.

1 komen pembaca

  1. SHARILAIZAM BIN HASSAN
    SHARILAIZAM BIN HASSAN

    ZOO KEMAMAN ADA HANTU DAN PESILAT YANG TELAH MATI MENGUSIK KAMI KETIKA KAMI KE SANA

Buat Komen

Nota: Alamat e-mel anda tidak akan dikongsi oleh pihak ketiga. Ruang bertanda * adalah wajib diisi.

Lagi Artikel Menarik