Bermula 19 Ogos nanti, temasya sukan terbesar di rantau Asia Tenggara iaitu Sukan SEA 2017 akan berlangsung selama 12 hari di Kuala Lumpur. Sebagai rakyat Malaysia kita perlu menyokong atlet negara kita dengan memberikan semangat supaya atlet kita dapat mengharumkan nama negara di mata dunia.

Sebanyak 404 acara membabitkan 38 jenis sukan bakal dianjurkan pada temasya pada tahun ini. Apa yang menarik perhatian, selain daripada acara sukan biasa seperti olahraga, renang, gimnastik, bola sepak, badminton, sepak takraw dan lain-lain lagi, Sukan SEA 2017 bakal memperkenalkan tiga acara sukan tambahan dimana dua daripadanya adalah acara sukan musim sejuk.

3 Acara Sukan Tambahan Sukan SEA 2017

Tiga acara sukan ini sememangnya agak asing buat majoriti penduduk Malaysia, lebih-lebih lagi cuaca panas di negara ini bermakna acara sukan musim sejuk bukanlah merupakan sukan yang sudah dimainkan secara bergenerasi lamanya.

Atas faktor itu, kami ingin memaparkan sedikit maklumat buat anda sebagai pengenalan untuk acara-acara tersebut.

1. Luncur Ais

pasukan atlet negara luncur ais

Lapan acara akan dipertandingkan iaitu dua bagi acara luncur berirama lelaki dan wanita dan enam dalam acara luncur ais (‘Ice Racing’) iaitu disiplin 500 meter, 1,000 meter dan luncur ais berganti-ganti 3,000 meter lelaki dan wanita.

Bagi acara luncur ais berirama, atlet akan meluncur dengan pantas mengikut rentak muzik yang dirancang dengan menggunakan kasut atau but khas. Acara ini memerlukan atlet melakukan beberapa pergerakan, putaran, lompatan dan elemen tertentu yang memerlukan disiplin serta latihan yang kemas.

Sandaran pasukan negara terletak di atas bahu atlit muda berusia 16 tahun, Chew Kai Xiang. Bagaimanapun, dia dan peserta lain dijangka menghadapi laluan sukar kerana pilihan utama untuk memenangi pingat emas adalah atlit dari Filipina, Michael Christian Martinez. Walaupun Martinez baru sahaja berusia 20 tahun, dia merupakan atlet pertama dari negara Asia Tenggara yang layak ke Sukan Olimpik Musim Sejuk ketika melakukannya pada kejohanan tahun 2014 di Sochi, Russia.

Luncur ais (‘Short Track Speed Skating’) atau ‘Ice Racing’ pula adalah acara yang diadakan di atas trek bujur berukuran 111.2 meter di atas gelanggang berukuran 30 x 60 meter iaitu sama dengan gelanggang hoki ais antarabangsa. Atas faktor selekoh pada trek bujur yang agak tajam, kelajuan luncuran diubah untuk mengekalkan kelajuan tertinggi dan kawalan di selekoh.

Malaysia berpeluang mendapat pingat pada acara ini jika disandarkan kepada prestasi semasa dua orang atletnya iaitu Ariff Rasydan Fadzli dan Wong De-Vin. Walaupun begitu, pilihan utama untuk muncul juara adalah peluncur dari Singapura, Lucas Ng yang menjuarai beberapa kejohanan terbuka acara tersebut sebelum ini.

2. Hoki Ais

hoki ais

Hoki Ais merupakan sukan berpasukan di atas gelanggang ais yang bukan sahaja dimainkan dengan tempo yang pantas tetapi juga penuh dengan pergelutan fizikal. Pemain kedua pasukan menggunakan kayu pemukul untuk memukul sebuah cakera yang diperbuat daripada getah vulkanik ke arah gol pihak lawan bagi mendapatkan mata.

Semasa perlawanan berlangsung, satu pasukan akan membariskan enam orang pemain iaitu seorang penjaga gold dan lima pemain lain yang akan meluncur ke serata gelanggang ais dalam percubaan untuk menjaringkan gol. Tiada had yang dikenakan buat bilangan petukaran pemain dan ianya boleh berlaku sama ada sewaktu perlawanan sedang berlangsung mahupun ketika waktu rehat. Tempoh permainan adalah 20 minit dengan waktu rehat di antaranya.

Walaupun Malaysia bukanlah sebuah negara yang mempunyai musim salji, skuad hoki ais Kebangsaan merupakan sebuah pasukan yang kuat di rantau ini. Pada kejohanan IIHF Challenge Cup of Asia 2008, pasukan Malaysia berjaya muncul naib johan manakala pada kejohanan yang sama pada tahun 2012, mereka mendapat tempat ketiga keseluruhan.

3. Kriket

kriket sukan SEA 2017

Kriket adalah permainan yang menggunakan kayu pemukul dan bola yang dimainkan antara dua pasukan dengan 11 pemain bagi setiap pasukan. Ianya dimainkan di padang bujur yang ditengahnya terdapat lapangan tengah (‘wicket’) berbentuk segi empat tepat berukuran 22 ela panjang. Satu set tiga kayu pancang (‘stumps’ ) berada di setiap penghujung wicket ini.

Kedua pasukan yang bertanding mengambil giliran untuk memukul dan cuba mengumpulkan sebanyak mungkin larian. Pasukan yang mengumpul larian terbanyak atau pasukan yang berjaya mengeluarkan kesemua 10 orang pemukul pasukan lawan akan dinobatkan sebagai pemenang.

Indonesia menyasarkan pingat emas buat kedua kategori lelaki dan wanita tetapi skuad kriket Malaysia masih berpeluang melakarkan kejutan berdasarkan kelebihan mereka sebagai tuan rumah kejohanan.

___

Jadi, sudahkah anda bersedia untuk menyaksikan bukan sahaja lima acara yang tersenarai di atas tetapi juga pelbagai acara sukan lain yang bakal dianjurkan pada Sukan SEA 2017 nanti?

Maklumat lanjut mengenai lokasi dan tarikh bagi setiap acara, boleh layari laman web rasmi Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur. Mari kita turut sama memeriahkan kejohanan sambil memberikan sokongan kepada kontijen negara. Malaysia boleh!

0 komen pembaca

Tiada komen lagi. Jadi yang pertama komen artikel ini.

Buat Komen

Nota: Alamat e-mel anda tidak akan dikongsi oleh pihak ketiga. Ruang bertanda * adalah wajib diisi.

Lagi Artikel Menarik