Senarai tempat makan sedap di Johor ini adalah untuk rujukan kepada anda yang ingin mencari lokasi tempat sedap yang ada di Negeri Johor sama ada yang ke negeri ini untuk bercuti atau pun atas urusan kerja.

Negeri Johor memang terkenal dengan makanan yang sedap dan best. Antara hidangan dan makanan yang menjadi lambang negeri Johor adalah seperti Laksa Johor, Mi bandung, Mee rebus, Sate, Telur pindang, Roti Jala, Kacang pol, Otak-otak, Nasi beriani, pelbagai Soto, Tahu bakar, Rojak petis dan banyak lagi.

Tempat Makan Sedap Di Johor

Disini kami kumpulkan beberapa tempat makan sedap yang boleh anda kunjungi bila ke Negeri Johor. Senarai ini diperolehi daripada beberapa bacaan di blog dan juga pilihan penulis yang pernah mencuba di beberapa tempat makan tersebut.

Semoga dengan senarai 10 tempat makan sedap di Johor ini dapat membantu anda mencari dan memilih tempat makan yang sesuai dengan selera anda. Jom kita lihat senarai 10 tempat makan sedap di Johor dibawah.

1. Medan Selera Tepian Tebrau

Medan Selera Tepian Tebrau Tempat Makan Sedap Di Johor

Medan Selera Tepian Tebrau ini menyediakan pelbagai jenis seafood dan kesemuanya segar-segar belaka. Anda patut cuba ikan bakar yang ada disini kerana sosnya cukup sedap membuatkan anda ketagih dan seafood yang disediakan juga langsung tidak hanyir.

Lokasinya, terletak 300m dari Dataran Bandaraya Johor Bahru yang bersebelahan dengan Hospital Sultanah Aminah. Antara gerai yang popular disini adalah Gerai Yong Yong. Di sini, makanan paling best ialah ikan bakar, tauhu bakar dan juga sotong goreng tepung.

2. Restoran ZZ Sup Tulang

Restoran ZZ Sup Tulang Tempat Makan Sedap Di Johor

Restoran ZZ Sup Tulang yang terletak di Kampung Bahru, Johor Bahru ini mula bertapak sejarak dari tahun 1975 dan antara tempat yang paling lama bertahan dengan menu mee rebus tulangnya.

Warung ini nampak biasa-biasa sahaja dan tempat makan pun beraatapkan rumbia tapi mee rebusnya datang siap dengan straw supaya anda boleh sedut dan sedut sum-sum tulang lembu. Memang layan!

Kalau anda tidak mahu mee rebus tulang, ada mee rebus daging serta nasi ayam penyet. Waktu operasinya pun lama — dari 7 pagi sampailah ke tengah malam. Jadi tak ada alasan untuk tidak singgah.

3. Senibong Sea Food

Senibong Sea Food Tempat Makan Sedap Di Johor

Senibong Sea Food yang terletak di Permas Jaya ini mempunyai 3 hingga 4 buah restoran makanan laut di atas pinggir laut antaranya ialah Restoran 6 Corner, Gerai Permata Senibong dan lain-lain lagi.

Pemandangan disini juga sangat cantik, terutama di waktu malam, sambil makan dapat menikmati lampu-lampu malam jauh di seberang laut, Pulau Singapura dan Sembawang.

Pengunjung boleh merasai pelbagai makanan laut seperti ikan, sotong, ketam udang dan sebagainya disini. Memang sedap!

4. Kilang Bateri

Kilang Bateri

Nama je Kilang Bateri tapi bukan jual bateri disini ya. Kilang Bateri yang terletak di JB ini sekarang dianggap antara tempat hipster terbaru di Johor Bahru yang menjadi bualan orang ramai.

Di sini ada food court yang menyediakan pelbagai jenis makanan dari makanan barat seperti chicken chop sampailah kepada makanan terkenal di Johor seperti kacang pol (ada di cafe CupChai).

5. Medan Steamboat Lotun Van

Medan Steamboat Lotun Van

Bagi anda yang nak mencari tempat makan malam yang agak santai di JB sambil-sambil lepak dengan keluarga, salah satunya ialah di Medan Steamboat Lotun Van yang terletak di Dataran Bandaraya, Johor Bahru. Lokasinya hanya berhadapan dengan Hotel Thistle.

Dan yang uniknya, setiap peniaga berniaga dengan menggunakan van lotun yang mempunyai pelbagai jenis corak dan tarikan masing-masing. Menu-menu makanan pun banyak pilihan.

Selain steamboat, banyak juga aneka makanan santai lain yang boleh anda dapati di sini seperti bakso, rojak, otak-otak, yong tau fu dan sebagainya.

6. Chaiwalla & Co. Container Café

Chaiwalla & Co. Container Café

Chaiwalla & Co. Container Café yang terletak di Jalan Tan Hiok Nee bandar JB ni memang mempunyai tarikannya tersendiri, cafe coffee yang dibuat dalam kontena yang menarik perhatian pengunjung.

Tempat hipster ini memang diminati orang muda yang gemar bersantai waktu malam melayan kopi dan bersembang dengan rakan-rakan. Lokasi ini memang sesak dengan pengunjung bermula petang hingga tengah malam lebih-lebih lagi pada cuti hujung minggu.

7. Kacang Pool Haji

Kacang Pool Haji

Kalau ke Johor tak mencuba Kacang Pool memang tak sah. Kalau anda nak mencuba Kacang Pool terbaik anda boleh ke Restoran Kacang Pool Haji yang terletak di medan selera Larkin Bomba, JB.

Mungkin ramai yang tak pernah mencuba Kacang Pool ni. Untuk pengetahuan anda, Kacang Pool adalah hidangan berasaskan kacang pool yang dimasak bersama daging cincang, dihiasi dengan bawang, cili potong dan potongan limau kasturi. Yang paling menarik, ada telur benjo di atasnya. Tidak boleh ketinggalan ialah sekeping roti bakar tebal yang rangup di luar tetapi lembut di dalam.

Selain kacang pool, disini juga ada ABC, tauhu bakar yang memang sedap dan bermacam-macam lagi makanan yang anda boleh cuba. Harga pun berpatutan.

8. Kapten Steamboat & Grill

Kapten Steamboat & Grill

Bagi sesiapa yang gemarkan makanan steamboat dalam suasana ang selesa dan santai, Kapten Steamboat & Grill adalah restoran yang sesuai untuk anda kunjungi. Anda boleh memilih sama ada ingin makan steamboat secara buffet ataupun set. Steamboat disini juga segar dan pelbagai.

Selain steamboat, terdapat juga menu ala carte seperti nasi, mee dan sebagainya. Makanan grill seperti ayam, daging, kambing dan makanan laut juga turut disediakan disini. Harga pun berpatutan. Lokasi restoran ini di Larkin, JB.

9. Mee Rebus Hj Wahid

Mee Rebus Hj Wahid

Mee Rebus Hj Wahid memang cukup popular di bandar Johor Bahru. Kalau nak merasa mee rebus anda boleh singgah ke Medan Selera Plaza Angsana. Satu lagi kedainya di uruskan oleh anaknya yang terletak di Taman Rinting berdekatan Mydin.

Selain mee rebut, nasi ayam dia pun sedap! Jom pekena Mee Rebus Hj Wahid. Rasa kepekatan serta keenakan kuah mee rebusnya yang memang tiada tandingan.

10. Pondok MS Beriyani – Nasi Beriyani Gam

Pondok MS Beriyani – Nasi Beriyani Gam

Bagi peminat nasi beriyani, anda boleh cuba nasi beriyani gam di Pondok MS Beriyani yang terletak di Bandar Baru Uda, JB. Pelbagai hidangan lauk yang ada di sini untuk dimakan dengan nasi beriyani seperti gulai kambing, ayam masak merah, ayam goreng dan ayam gulai.

Sesudah makan nasi beriyani, jangan lupa pekena hidangan pencuci mulut yang pelbagai seperti tiramisu. Memang satu menu makanan kombo yang pasti membuat anda tersadai. Selain menu nasi beriyani, air asam boi di sini juga dikatakan sangat best.

___

Senarai diatas bukanlah muktamad tetapi masih terbuka untuk anda cadangkan tempat makan sedap di Johor yang mungkin lebih sedap dan lebih baik. Semestinya citarasa setiap individu adalah berbeza, tetapi populariti sesebuah tempat tidak boleh dipertikaikan.

Semoga anda suka dengan pilihan tempat makan sedap di Johor ini dari kami di CutiSini. Semoga anda dapat merancang percutian anda di negeri Johor dengan lancar dan memberikan 1001 kenangan yang manis buat anda.

Anda ada cerita menarik ingin dikongsikan dengan kami? Hantarkan kisah percutian anda kepada kami dan jangan lupa like CutiSini.com di Facebook, jadi anda akan terus-menerus dapat membaca artikel menarik seperti ini. Terima kasih.

0 komen pembaca

Tiada komen lagi. Jadi yang pertama komen artikel ini.

Buat Komen

Nota: Alamat e-mel anda tidak akan dikongsi oleh pihak ketiga. Ruang bertanda * adalah wajib diisi.

Lagi Artikel Menarik