Senarai tempat makan sedap di Melaka ini adalah sebagai rujukan kepada anda yang mencari lokasi tempat makan sedap di negeri ini. Melaka memang terkenal sebagai sebuah destinasi pelancongan dan tempat tinggalan sejarah yang sering menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.

Namun begitu, negeri ini juga amat terkenal dengan kepelbagaian menu makanan dan masakan yang sememangnya menjadi tumpuan oleh ramai.

Kebanyakkan restoran yang disenarai dibawah pernah masuk dalam rancangan Jalan-Jalan Cari Makan TV3 (JJCM) dan surat khabar tempatan. Memang tidak dinafikan dengan populariti restoran ini dan yang penting restoran-restoran ini adalah halal.

10 Tempat Makan Sedap Di Melaka

Senarai ini adalah cadangan 10 tempat makan sedap di Melaka yang kami sediakan untuk anda yang mungkin tercari-cari tempat makan sedap di Perak.

Semoga senarai ini dapat memberikan sedikit sebanyak panduan kepada anda untuk mencari tempat makan sedap di Melaka pada masa akan datang.

1. Nasi Beriani Haji Tamby

Nasi Beriani Haji Tamby Tempat Makan Sedap di Melaka

Restoran Nasi Beriani Haji Tamby yang terletak di Taman Pertam Jaya. ini tersenarai sebagai salah satu daripada tempat makan menarik di Melaka kerana ia menawarkan konsep yang lain daripada yang lain.

Pengunjung boleh menikmati menu nasi beriani disini hanya dengan membayar harga lauk sahaja. Manakala nasi beriani atau nasi putih, dalca & acar akan diberikan secara percuma. Pada setiap hari Jumaat pula, air sirap bandung akan dihidangkan secara percuma kepada pelanggan. Ini adalah niat murni dari pengasasnya Muhammad Nazli Zainul Abidin untuk beramal sambil berniaga.

Harga kari kambing adalah RM6.00, kari itik RM7.00 manakala ayam goreng pula RM4.00. Ianya memang jauh berbeza dengan kedai-kedai di luar sana yang mengenakan di antara RM10.00 ke RM15.00 untuk sepinggan nasi beriani. Jadi harga di restoran ini memang murah!

2. Klebang Original Coconut Shake

Klebang Original Coconut Shake Tempat Makan Sedap di Melaka

Kalau anda ke Klebang, jangan lepaskan peluang untuk singgah di Klebang Original Coconut Shake! Kalau anda lalu petang-petang depan kedai ni, anda boleh tengok sendiri betapa panjangnya orang beratur untuk membeli coconut shake di sini. Memang tak dinafikan lokasi ini tersenarai sebagai salah satu tempat makan sedap di Melaka. Boleh dikatakan juga jalan di sekitar sini sesak memang sebab pelanggannya yang ramai.

Di sini anda boleh memilih sama ada untuk dine-in ataupun take-away. Kalau anda nak makan di sini, anda boleh terus masuk ke dalam pintu gerbang seperti gambar di atas. Tapi kalau penuh, terpaksa juga parking di luar. Nak makan? Jangan risau, kerana terdapat juga menu-menu sampingan seperti nasi lemak, mee goreng, keropok dan macam-macam lagi makanan ringan-ringan untuk minum petang.

3. Aida Rich Cafe

Aida Rich Cafe Tempat Makan Sedap di Melaka

Aida Rich Cafe yang terletak di Ayer Keroh ni memang terkenal dengan menu makanan Asam Pedas Melaka. Selain asam pedas, Aida Rich Cafe juga menyediakan makanan ala western, nyonya dan masakan panas. Lihat pada menu di sini memang sangat-sangat menarik membuatkan kita kecur air liur.

Antara menu western yang menjadi pilihan pelanggan di sini ialah beef tenderloin, lasagna, fruit chicken salad, sweet salmon salad dan sebagainya. Makanan tradisional Melayu pun ada antranya pulut hitam bersama santan kelapa ini.

Bagi masakan baba dan nyonya Melaka pula, lauk yang popular di sini ialah Ayam Pongteh bersama nasi putih. Bagi yang tak tahu macam mana rasa dia, masakan Ayam Pongteh menggunakan ramuan seperti kicap, tauchu, kicap pekat, gula dan beberapa lagi bahan.

4. Cendol Bakar Melaka

Cendol Bakar Melaka

Kalau anda ke A’Famosa Resort atau Freeport A’Famosa Outlet, anda bolehlah singgah di sini sebentar untuk merasa Cendol Bakar Melaka. Cendol Bakar ni kalau kat negeri Selangor memang popular dan pernah viral di internet satu ketika dahulu sebab nama cendolnya yang unik iaitu Cendol Bakar.

Selain itu, makanan ringan lain seperti keropok, western food seperti burger & fries pun ada. Coconut shake juga dijual, tetapi pada harga yang agak mahal iaitu RM5.00 segelas. Kalau anda tak nak makan di sini, drive-thru pun boleh!

5. Qasreena Cafe

Qasreena Cafe

Qasreena Cafe terletak di Taman Puncak, Bukit Katil merupakan cafe yang terkenal dengan Mee Racun. Nama racun ditambah kat mee basah/hainan ni kerana rasa dia memang pedas dan menyegat lidah. Kalau tak tahan pedas jangan makan mee racun ni, nanti telinga berasap.

Menu lain yang juga menjadi tarikan di sini ialah nasi bubur beserta sambal, bilis goreng dan ikan masin. Pelik-pelik juga nama menu makanan di sini seperti Kuey Teaw Kungfu Hustle, Pizza Aladdin, Nasi Goreng Colloseum dan Mee Basah di Puncak.

Minuman-minuman di sini juga nampak menarik dan nama dia pun sedap didengar seperti Rose Float, Milo Volcano, Mango Madness dan sebagainya. Kata penguat untuk setiap minuman membuatkan kita rasa “cam best jer, cam menarik jer”. Cafe ini dibuka setiap hari kecuali hari Ahad dari pukul 8 pagi sehinggalah ke 11.30 malam. Cafe Qasreena ni mempunyai deko dalaman yang ala-ala English sikit.

6. Roti Canai Kayu Arang

Roti Canai Kayu Arang

Roti canai kayu arang adalah salah satu tempat makan sedap di Melaka pada waktu pagi kerana rotinya dibakar menggunakan arang. Ramai yang telah mencuba sendiri menu ini, namun bila bercakap tentang rasa memang ramai yang terkata dengan keenakkannya. Memang sedap!

Selain roti canai biasa, menu-menu lain seperti roti tampal, roti nacho (roti canai tapi bertoppingkan piza), nasi lemak dan aneka kuih-muih pun ada. Pekerja-pekerja di sini juga sangat peramah. Oleh kerana tempat ni sentiasa ramai orang, anda dicadangkan untuk datang awal. Kalau tak, jenuh nak berebut tempat duduk. Anda boleh cuba sendiri roti canai ini di Kampung Batu Mukim, Bachang.

7. Mee Besen

Mee Besen

Biasanya Mee dimakan di dalam pinggan atau mangkuk tapi berbeza pula di restoran ini dimana makanan popular di sini adalah Mee Besen. Ia menyediakan Mee di dalam pelbagai jenis saiz besen dari harga RM6.00 untuk besen yang kecil dan RM15 untuk besen yang besar. Memang unik!

Selain itu, anda juga boleh memilih jenis mee, sama ada mee soya, kuey tiow, mee hon ataupun mee kuning. Jadi, ia terpulang kepada masing-masing. Anda juga boleh mencuba talam western. Hanya dengan harga RM35.00, anda boleh dapat chicken chop, spaghetti, meatball & fries. Makan yang ini memang kenyang!

Anda boleh cuba Mee Besen ini di PNo 17, Jalan PNDD 1, Pusat Niaga Burian Daun.

8. Ikan Bakar Umbai

Ikan Bakar Umbai

Medan ikan bakar Umbai sudah pasti menjadi salah satu daripada tempat makan sedap di Melaka kerana di sini, anda boleh mendapatkan makanan laut yang semuanya fresh! Lokasi ini bukan sahaja popular di kalangan penduduk setempat, malah ramai warga kota daripada Kuala Lumpur, Johor & Singapura sanggup travel jauh-jauh semata-mata untuk menjamu selera di sini!

Terdapat banyak gerai di sini yang menyediakan makanan seafood terutamanya di Restoran Ikan Bakar Parameswara yang sememangnya popular dan sering penuh dengan pengunjung terutamanya pada hujung minggu.

Lokasi Resotran Ikan Bakar Parameswara ini juga sangat strategik kerana anda boleh melihat pemandangan Selat Melaka dan juga hutan bakau di gigi air. Selain itu, harga ditawarkan juga sangat berpatutan dan pekerja restoran ikan bakar ini sangat peramah.

9. Barkat Roti John Asli dan Ayam Golek

Barkat Roti John Asli Dan Ayam Golek

Nak makan roti john yang sedap anda boleh cuba makan di restoran Barkat Roti John Asli yang terletak di Tengkera, Melaka. Selain roti john, di sini ada juga menyediakan menu lain seperti ayam golek.

Kedai ini memang dah lama bertapak di sini sejak tahun 80an lagi. Setiap hujung minggu mesti menjadi tumpuan orang ramai untuk menikmati keenakan roti john dan ayam golek serta sos yang sedap.

Roti johnnya dibakar di dalam ketuhar dan sos (topping) atas dia pun lain daripada biasa. Kalau makan roti john dan ayam pun tak kenyang, di sini juga ada menyediakan menu lain seperti nasi, asam pedas dan masakan panas.

10. Kuih Keria Antarabangsa Melaka

Kuih Keria Antarabangsa Melaka

Kuih Keria Antarabangsa yang terletak di Limbongan Melaka ini sangat istimewa sehingga orang dari luar Melaka pun datang untuk beli kat sini. Sanggup datang dari jauh semata-mata nak makan kuih keria disini.

Kedai Kuih Keria Antarabangsa di Limbongan ni terletak di sebelah Masjid Limbongan. Kedainya betul-betul terletak berhadapan dengan jalan utama dan tak susah nak cari. Waktu perniagaan adalah jam 1 tengahari sehingga petang. Perniagaan Kuih Keria Antarabangsa ni telahpun berusia lebih 40 tahun. Bermula dari gerai kecil di tepi jalan sehinggalah dah ada kedai sendiri.

Ada orang panggil Kuih Keria dan ada juga orang panggil Kuih Gelang. Tapi apa yang uniknya kuih keria kat sini adalah mereka menggunakan sira gula melaka. Sebab tu lah Kuih Kerianya nampak merah-merah dan berkilat-kilat.

___

Senarai diatas bukanlah muktamad tetapi masih terbuka untuk anda cadangkan tempat makan sedap di Melaka yang mungkin lebih sedap dan lebih baik. Semestinya citarasa setiap individu adalah berbeza, tetapi populariti sesebuah tempat tidak boleh dipertikaikan.

Semoga anda suka dengan pilihan tempat makan sedap di Melaka ini dari kami di CutiSini. Semoga anda dapat merancang percutian anda di negeri Melaka dengan lancar dan memberikan 1001 kenangan yang manis buat anda.

Anda ada cerita menarik ingin dikongsikan dengan kami? Hantarkan kisah percutian anda kepada kami dan jangan lupa like CutiSini.com di Facebook, jadi anda akan terus-menerus dapat membaca artikel menarik seperti ini. Terima kasih.

0 komen pembaca

Tiada komen lagi. Jadi yang pertama komen artikel ini.

Buat Komen

Nota: Alamat e-mel anda tidak akan dikongsi oleh pihak ketiga. Ruang bertanda * adalah wajib diisi.

Lagi Artikel Menarik