Senarai tempat makan sedap di Pulau Pinang ini adalah untuk rujukan kepada anda yang ingin mencari lokasi tempat sedap yang ada di Pulau Pinang sama ada yang ke negeri ini untuk bercuti atau pun atas urusan kerja.

Di Penang, selain daripada tempat menarik, hotel dan tempat membeli belah, negeri ini juga banyak tempat makan sedap yang anda boleh cuba. Kalau bercuti ke Pulau Pinang tak sah kalau tak pekena nasi kandar, pasembur, char kuew teaw, rojak, kari, kurma, laksa penang dan macam-macam lagi kerana Penang sememangnya terkenal dengan pelbagai jenis makanan yang berasaskan rempah dan layak dikatakan sebagai syurga makanan.

10 Tempat Makan Sedap Di Pulau Pinang

Disini kami kumpulkan beberapa tempat makan sedap di Pulau Pinang yang boleh anda kunjungi bila ke negeri ini dan senarai ini kami susun untuk memudahkan anda mencari lokasi tempat makan sedap di Pulau Pinang untuk menjadikan percutian anda ke negeri ini lebih bermakna.

Semoga dengan senarai 10 tempat makan sedap di Pulau Pinang ini dapat membantu anda mencari dan memilih tempat makan yang sesuai dengan selera anda. Jom kita lihat senarai tempat makan sedap di Pulau Pinang dibawah.

1. Restoran Hameediyah

Restoran Hameediyah tempat makan sedap di pulau pinang

Restoran Hameediyah merupakan restoran nasi kandar yang paling lama bertapak di Lebuh Campbell, Penang sejak dari tahun 1907 lagi. Menurut orang-orang di sini, kalau nak rasa nasi kandar yang asli dan sedap kena pergi ke Restoran Hameediyah. Menurut sumber media tempatan, lebih 50 chef dari luar negara yang telah mengiktirafkan kesedapan menu-menu makanan dari Restoran Hameediyah ketika di majlis makan malam bersempena Festival Makanan Asia pada tahun 2014.

Seperti kebanyakan kedai makan nasi kandar yang lain, mereka juga menyediakan nasi beriyani, roti canai, masakan kurma, kari, dalcha sotong, okra, rojak dan juga murtabak. Kedai ini dibuka setiap hari kecuali Jumaat dari pukul 11 pagi sehinggalah ke 11 malam. Kalau nak makan lauk tengahari yang fresh dan panas-panas, kenalah datang awal-awal.

Selain kerana rasanya yang sedap, harga makanan-makanan di sini juga berpatutan. Dan rasa dia dari dulu sampai sekarang sentiasa konsisten. Bukan seperti di setengah tempat, sekejap sedap sekejap tak. Tengok dia punya kari udang atas macam mahal. Tapi hanya antara RM 7- RM12 sahaja.

2. Teochew Chendul (Penang Road)

Teochew Chendul tempat makan sedap di pulau pinang

Kalau nak rasa cendol terbaik di Pulau Pinang ni anda boleh berkunjung ke TeoChew Chendul yang terletak di Lebuh Keng Kwee untuk rasa cendol yang memang terkenal disini. Bila dah sampai sini jangan pula anda terkejut jika ramai orang beratur untuk beli cendol sebab keadaan beratur tu memang macam tu hari-hari.

Nak beli makanan pun beratur, masa tengah makan pun kena beratur sebab tak cukup tempat. Memang inilah penangan cendol terbaik ini dan servis pun laju. Memang tak menyesal rasa cendol disin lagi-lagi waktu panas dan penat berjalan-jalan disekitar Pulau Pinang. Memang best!

3. Abang Misai Char Koay Teow

Abang Misai Char Koay Teow

Menggunakan tagline “telur ayam dibasuh” menjadikan Abang Misai Char Koay Teow menjadi pilihan ramai kerana menjamin kebersihan setiap masakannya. 3 menu utama di sini yang menjadi pilihan pelanggan-pelanggan di Penang ialah sudah tentu Char Kuew Teaw, Kuew Teaw Ala Cina dan Nasi Goreng Udang. Besaq-besaq udang yang dia sajikan disini.

Seperti kebanyakan kedai char kuew teaw lain, bila ditanya apakah bahan yang menjadikan masakan sesebuah char kuew teaw tu sedap, jawapannya mestilah kicapnya. Kicap hitam cair yang digunakan untuk memasak di sini buatan abang misai sendiri iaitu pemiliknya kedai makan ni. Memang susah nak cari Char Kuew Teaw yang sedap dan popular di tempat lain di Penang. Kalau datang ke sini dan nak lagi puas hati, jangan lupa untuk order Char Kuew Teaw Special! Baru banyak udang dan kerang dia.

4. Restoran Sup Hameed

Restoran Sup Hameed

Jika anda penggemar sup dan ingin merasa sup yang digemari ramai terutamanya di Penang ni, anda boleh cuba makan di Restoran Sup Hameed. Gelaran ‘Best Soup in Town‘ antara gelaran yang diberikan kepada mereka kerana keenakkan sup yang memang memikat hati pada sesiapa sahaja yang merasainya.

Untuk mencari restoran ini tidak susah kerana restoran ini terletak di Jalan Penang berdekatan dengan Sekolah Convert. Hirup sup sambil cicah dengan roti memang menyelerakan. Nak cuba sup mereka anda boleh datang kesini.

5. Fisherman Grill

Fisherman Grill

Kalau nak merasa makanan laut yang segar dengan masakan jenis ala barat dan melayu sket-sket, boleh lah ke Fisherman Grill. Restoran ini dibuka setiap hari Selasa sehinggalah ke hari Ahad. Kalau nak makan tengahari bermula pukul 11.30 pagi sehinggalah ke pukul 2.30 petang. Kalau lambat melepas lah sebab lepas pukul 2.30 petang kedai ni akan ditutup dan dibuka semula bermula 6 petang sehinggalah ke 10.30 malam.

Mereka akan menyediakan menu-menu berdasarkan ikan atau hidupan laut apa yang segar pada hari-hari tertentu. Setiap hari pemilik kedai atau chefnya yang akan ke pasar untuk mencari ikan-ikan dan makanan laut untuk dijadikan menu masakan. Yang mana best dan fresh mereka akan beli dan masak dan hidangkan kepada pelanggan. Antara ikan yang menjadi menu wajib seperti siakap, jenahak, kerapu, kirisi bali (biji nangka), udang galah dan sebagainya.

Bagi yang alergik nak makan seafood, jangan bimbang Fisherman Grill juga ada menyediakan menu makanan yang berasaskan ayam, kambing dan lembu. Antara menu yang menarik di sini ialah Bombay Lamb dan antara menu yang paling mendapat permintaan ramai di sini ialah Udang Harimau dengan Seafood Thermidor! Kalau datang honeymoon, semestinya satu tempat makan menarik di waktu malam bersama yang tersayang di area Penang.

6. Roti Bakar Transfer Road

Roti Bakar Transfer Road

Lokasi menarik untuk sarapan pagi adalah dengan berkunjung ke Roti Bakar Transfer Road. Berdekatan sahaja dengan Nasi Padang International Hotel ini, gerai roti bakar dan roti canai ini menjadi tenpat kegemaran bagi setiap pengunjung dari serata dunia.

Antara menu yang boleh dicuba adalah roti bakar telur goyang dan sudah semestinya roti canai ayam yang memang terbukti sedap! Mudah saja untuk jumpa gerai ini, kalau tengok dekat Transfer Road tu ada gerai yang ramai orang, itulah tempatnya.

7. Nasi Kandar Deen Maju

Nasi Kandar Deen Maju

Salah satu restoran nasi kandar yang terbaik di Penang yang anda boleh cuba adalah di Nasi Kandar Deen Maju yang terletak di Jalan Gudwara, Georgetown. Restoran ini dah lama beroperasi disini dan mempunyai pelanggan setianya setiap hari. Kalau datang kesini memang tak sah kalau kena beratur. Jadi anda perlu bersabar jika ingin menikmati nasi kandar disini. Maklumlah nasi kandarnya memang terbaik.

Restoran ini beroperasi dari jam 2.30 petang sehingga 11.00 malam. Sesiapa yang datang kesini jangan lupa untuk cuba ayam gorengnya yang memang menjadi buah mulut orang ramai dan pastikan anda datang awalnya kalau tak nak beratur panjang-panjang.

8. Rojak Pasembor

Rojak Pasembor

Kalau datang ke Penang tak pekena Rojak Pasembor memang rugi dan kalau anda nak rasa pasembor yang terbaik anda boleh datang ke Famous Pasembor Gurney. Disini terdapat pelbagai jenis bahan rojak yang boleh anda pilih. Tetapi diigatkan pilih yang betul-betul anda nak makan sahaja dan kawal nafsu sebab memang rambang mata lihat bahan rojak disini. Bukan apa takut membazir pulak nanti.

Waktu yang terbaik makan kat sini adalah waktu malam kerana memang layan makan rojak pasembor sambil melayan angin malam. Lokasi ini juga dekat dengan Pantai Batu Feringgi. Jadi angin malam dari laut tu memang terasa. Lepas makan rojak pasembor ni lepas tu jalan-jalan menikmati keindahan persekitaran bandar Georgetown memang best.

9. Koo Boo cafe

Koo Boo cafe

Nak rasa makanan lain daripada yang lain? Anda boleh cuba Nasi 7 benua yang terdiri daripada nasi minyak, nasi tomato, nasi lemak, nasi hujan panas, nasi lemuni, nasi putih dan nasi kacana. Anda juga boleh menambah lauk-lauk lain seperti sambal, ayam goreng, ikan, telur dan macam-macam lagi. Memang warna warni hidangan ini dan ia merupakan tarikan di kedai ini.

Lokasi kedai ini adalah betul-betul terletak bersebelahan Stadium Sunga Ara dan berdekatan dengan Penang International Sports Area (PISA) atau sekarang lebih dikenali sebagai SPICE. Tak salah nak mencuba sesuatu yang baru kan?

10. Ikan Bakar Adnan Bin Hassan

Ikan Bakar Adnan Bin Hassan

Kalau bercuti di Penang tak mencuba Ikan Bakar Telur Tempoyak memang tak sah dan kalau nak tahu tempat makan ini antara pilihan utama kami sekiranya ke Pulau Pinang. Memang tak boleh miss kesini kalau ke negeri ini. Memang sedap ikan bakar disini.

Jika nak mencari restoran ini anda boleh ke D’ Seafood Paradise yang terletak di Teluk Tempoyak di tepian pantai. Jika tak jumpa anda boleh tanya orang disekiling Ikan Bakar Adnan Bin Hassan atau Ikan Bakar Teluk Tempoyak. Disini hanya ada satu ikan bakar sahaja dan sekiranya anda ingin memesan makanan lain seperti air, sotong goreng tepung atau sebagainya anda perlu memesan dari gerai lain. Gerai ini dibuka bermula dari 6.00 petang sehingga 11.30 malam dan ditutup pada setiap hari isnin.

___

Senarai diatas bukanlah muktamad tetapi masih terbuka untuk anda cadangkan tempat makan sedap di Pulau Pinang yang mungkin lebih sedap dan lebih baik. Semestinya citarasa setiap individu adalah berbeza, tetapi populariti sesebuah tempat tidak boleh dipertikaikan.

Semoga anda suka dengan pilihan tempat makan sedap di Pulau Pinang ini dari kami di CutiSini.com. Semoga anda dapat merancang percutian anda di negeri ini dengan lancar dan memberikan 1001 kenangan yang manis buat anda.

Anda ada cerita menarik ingin dikongsikan dengan kami? Hantarkan kisah percutian anda kepada kami dan jangan lupa like kami di Facebook, jadi anda akan terus-menerus dapat membaca artikel menarik seperti ini. Terima kasih.

0 komen pembaca

Tiada komen lagi. Jadi yang pertama komen artikel ini.

Buat Komen

Nota: Alamat e-mel anda tidak akan dikongsi oleh pihak ketiga. Ruang bertanda * adalah wajib diisi.

Lagi Artikel Menarik